Monday, October 20, 2008

Isu Undang-Undang Islam

Assalamualaikum..

Insyaallah dalam ruang kali ini saya ingin membincangkan satu undang-undang Islam yang masih ramai umat Islam yang kurang memahami apa maksud sebenar isu undang-undang ini. Namun demikian saya masih mengharapkan segala teguran dan nasihat serta meminta para sahabat untuk memperbetulkan saya andai ada kesalahan dalam membincangkan isu ini kerana saya hanyalah insan lemah yang tidak pernah lepas dari kelalaian dan kealpaan.

Hukum Poligami dan hikmat disyariatkan

Masyarakat di Malaysia pada hari ini banyak memperkatakan dan mempersoalkan tentang poligami. Terdapat banyak tafsiran dan anggapan pelbagai pihak samada lelaki atau perempuan, badan NGO, hatta menteri-menteri yang membincangkan tentang masalah poligami ini sehinggakan pada satu tahap terdapat cadangan di negeri tertentu yang mengharamkan poligami. Oleh kerana itu, mari kita melihat dan meneliti kembali hukum poligami ini menurut syariat Islam.

Hukum asal poligami ini ialah harus dan dibolehkan, hal ini berdasarkan firman Allah s.w.t di dalam surah An-Nisa’ ayat 3 yang bermaksud Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin Dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat” .

Walaubagaimanapun, hukum poligami ini menjadi sunat, makruh atau haram kerana disebabkan beberapa keadaan individu yang ingin berpoligami. Ia akan menjadi sunat apabila seorang lelaki memerlukan isteri yang lain disebabkan keperluan seperti untuk mendapatkan zuriat sekiranya isterinya mandul atau cacat dan dia yakin dapat berlaku adil. Hukumnya sunat kerana ia mempunyai kebaikan serta maslahat syarak.

Seterusnya hukum poligami menjadi makruh apabila poligami itu berlaku bukan kerana keperluan tetapi untuk berseronok semata-mata dan suami tersebut berasa ragu-ragu samada dia boleh berlaku adil atau tidak. Hal ini disebabkan poligami itu dituntut sekiranya untuk memenuhi keperluan dan sekiranya suami tidak berlaku adil,ini akan mendatangkan kemudharatan kepada isteri-isterinya disebabkan tidak mampu untuk berlaku adil terhadap mereka. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud “ Tinggalkanlah perkara yang meragukan kamu kepada perkara yang tidak meragukan kamu”.

Seterusnya, jika seorang lelaki yang ingin berpoligami merasa syak atau yakin tidak mampu berlaku adil terhadap isteri-isterinya, samada kerana kemiskinan, kelemahannya, atau dia tidak yakin dirinya dapat mengawal kecenderungan dan sifat prejudisnya, maka hkum ketika itu ialah haram kerana ini akan memberi mudharat kepada orang lain. Seperti firman Allah s.w.t dalam surah an-nisaa’ ayat 3 yang bermaksud “kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan Yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman” .

Namun demikian, beberapa perkara yang dituntut kepada suami yang berpoligami dalam keadilan untuk isteri-isterinya iaitu keadilan nafkah, tempat tinggal, tempat tidur, pergaulan yang baik serta melaksanakan kewajipan sebagai suami terhadap isteri-isterinya. Sementara keadilan dari segi kasih sayang bukanlah yang mesti diperolehi oleh isteri-isterinya selagi ia tidak membawa kepada tindakan yang zalim kerana manusia tidak dapat menguasai hatinya yang menjadi punca perasaan kasih sayang seperti firman Allah s.w.t dalam surah an-nisaa’ ayat 129 bermaksud “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya)”. Hal ini perlu difahami dan diteliti oleh kita semua selaku umat Islam khasnya bagi lelaki yang ingin berpoligami supaya mereka berhati-hati dan bijak menguruskan masalah yang berkaitan kasih sayang ini.

Seterusnya, terdapat beberapa hikmah Islam mensyariatkan poligami ini antaranya ialah untuk menjaga kesucian mereka yang tidak cukup hanya dengan seorang isteri sahaja yang mana menghalangnya dari poligami dapat menjerumuskannya ke lembah maksiat. Seterusnya untuk mengelakkan kaum wanita dari diburu lelaki yang tidak bertanggunngjawab tanpa akad yang boleh menjamin masa depannya. Serta dapat memenuhi keperluan suami untuk mendapatkan zuriat bagi menyambung keturunannya.

Kesimpulannya, penyalahgunaan sesetengah individu yang jahil terhadap hak-hak poligami tidak menafikan hikmat Islam mensyariatkan poligami. Islam tidak mengharuskan poligami untuk menganiayai, melukakan atau memudharatkan isteri. Sebaliknya ia diharuskan untuk memenuhi keperluan,melindungi yang memerlukan dan mencegah dari berlaku maksiat. Dengan sebab-sebab yang sepatutnya Islam mengharuskan poligami dan tidak mewajibkannya. Wallahu a’lam.


Hormati Prinsip Dan Undang-Undang Islam

KUALA LUMPUR, 18 Jun - Semua pihak, khususnya golongan bukan Islam perlu menjadikan kes Lina Joy sebagai rujukan, yang jelas menyatakan bahawa setiap perkara berkaitan agama Islam perlu dirujuk di bawah undang-undang Islam. Sepertimana yang diputuskan Mahkamah Persekutuan dalam kes Lina Joy, akhir Jun lalu, yang menjelaskan mana-mana perkara berkaitan agama Islam dengan tidak melalui undang-undang Islam, ia nyata bertentangan dengan Perkara 11 Perlembagaan Malaysia.

Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Abdul Hamid, berkata mereka juga perlu menghormati prinsip dan undang-undang agama lain, khususnya Islam yang mempunyai tafsiran berbeza berkenaan kebebasan beragama apabila seseorang itu memeluk agama Islam.

"Prinsip dan undang-undang itu perlu difahami dan dihormati oleh semua pihak dan tidak menjadikannya isu hak asasi kerana Islam mempunyai prinsip berbeza mengenainya," jelas beliau kepada Harakahdaily, hari ini bagi mengulas hasrat sekumpulan NGO yang ingin mengadakan perhimpunan secara aman sebagai tanda prihatin mereka terhadap kes yang melanda Revathi dan wanita-wanita lain yang tidak diberikan hak dalam memilih agama kepercayaan mereka.

Kumpulan yang terdiri daripada Lembaga Konsultatif Buddha, Hindu, Kristian, Sikh dan Tao serta badan-badan yang memperjuangkan hak wanita seperti Persatuan Tindakan Wanita (AWAM), Sisters in Islam (SIS), Organisasi Bantuan Wanita (WAO), Pusat Perubahan Wanita Pulau Pinang (WCC) dan Kolektif Pembangunan Wanita (WDC) Mengulas lanjut isu Revathi itu, Azmi menegaskan bahawa apa saja yang berkaitan dengan agama Islam, sama ada pihak yang mahu keluar daripada Islam atau sebaliknya, perlu menggunakan undang-undang syariah dan tidak boleh dipersoalkan.

Sementara itu, akhbar alternatif online, Malaysia-today melaporkan Revathi kini ditempatkan di sebuah pusat pemulihan akhlak yang dikendalikan pihak penguatkuasa Agama Islam sejak Januari lalu kerana memohon untuk menukar status keagamaannya sebagai penganut agama Hindu bukannya Islam. Ibu kandung Revathi merupakan seorang mualaf yang memasuki agama Islam sebelum beliau dilahirkan.

Revathi mendakwa beliau dibesarkan oleh neneknya sebagai seorang Hindu. Beliau juga berkahwin dengan Suresh pada Mac 2004 dalam upacara berdasarkan kepercayaan Hindu berhasrat ingin berhimpun di Dataran Merdeka dengan cara menyalakan lilin. Dalam permohonannya kepada Jabatan Agama Melaka, Revathi telah dinasihati supaya merujuk kepada mahkamah bagi menukar status agamanya. Mahkamah Syariah berkeputusan bahawa Revathi dibawa ke pusat pemulihan di Ulu Yam, Selangor selama 100 hari. Keputusan tersebut dibuat berdasarkan kepada undang-undang jenayah syariah.

Azmi juga menegaskan biarpun perhimpunan itu merupakan salah satu saluran mereka dalam kebebasan berhimpun dan bersuara, ia tetap dibimbangi kerana ia dilihat seolah-olah bertujuan memberi tekanan kepada pihak berkuasa supaya tunduk dengan kehendak mereka. (sumber dari Harakah online)

1 comments:

Simfoni Islam said...

salam. saya mengharapkan semoga dengan penjelasan yang diberikan ini dapat membantu kepada pihak yang ingin berpoligami dengan atas dasar ingin membantu pasangan yang ingin dikahwininya. semoga artikel ini dapat membantu anda semua..Insya Allah..