Monday, October 20, 2008

Isu Pembinaan Keluarga Islam

Membina Keluarga Islamik

Pernikahan merupakan satu tuntutan didalam Islam terhadap umatnya. Nikah merupakan sunnah Rasulullah yang sangat sinonim dengan kita. Pernikahan juga merupakan ikatan yang sangat kuat yang dalam istilah al-Quran disebut sebagai“miytsaqon ghaliyzho” dalam surah an-nisa’ ayat 21 yang bermaksud “Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu Dengan Yang lain, dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian Yang kuat daripada kamu?”.

Oleh kerana itu pernikahan harus dilaksanakan dengan cara yang sesuai dengan ajaran Islam. Justeru itu pernikahan jangan sampai dinodai dengan perkara-perkara yang berupa maksiat. Sesudah pernikahan berlangsung, kehidupan berumah tangga pun harus dijalani dengan sebaik-baiknya meskipun cabaran dan godaan menjalani kehidupan rumah tangga yang Islamik begitu banyak. Untuk menjalani kehidupan rumah tangga yang Islamik, ada beberapa perkara yang harus mendapat perhatian suami dan isteri. Antaranya ialah yang pertama mengukuhkan rasa cinta antara satu sama lain. Perasaan cinta perlu dipupuk dan diperkukuhkan dari awal perkahwinan hinggalah ke akhirnya.

Berumah tangga diibaratkan seperti orang yang sedang belayar. Ketika pelayaran baru bermula, suasana di dalam kapal masih tenang kerana di samping penumpangnya benar-benar ingin menikmati pelayaran itu, juga kerana belum ada sebarang kesulitan, belum ada ombak dan angin kencang yang menerpa, tetapi ketika kapal itu telah sampai di lautan yang jauh, barulah terasa ombak besar dan angin yang sangat kencang menerpa.

Dalam suasana seperti itulah pengukuhan rasa cinta antara suami dengan isteri menjadi sesuatu yang sangat penting dalam menghadapi dan mengatasi terpaan badai kehidupan rumah tangga. Pernikahan dilangsungkan dengan pengertian agar lelaki dan wanita yang mengikat hubungan suami isteri mampu memperoleh ketenangan dan rasa cinta. Sebagaimana Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menjadikan untukmu isteri-isteri daripada kalanganmu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya yang demikian itu benar-benar menjadi tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (30: ayat 21).

Seterusnya yang kedua,saling hormat-menghormati, di mana di dalam pembinaan keluarga Islam, suami isteri sewajarnya sentiasa menghormati antara satu sama lain. Apabila suami isteri selaku pemimpin di dalam rumah tangga sentiasa saling hormat-menghormati dan saling bersikap baik ini akan menjadi contoh taulada yang terbaik kepada anak-anak. Di mana anak-anak akan mengikut dan mempelajari sikap yang dipamerkan oleh ibu bapa mereka untuk diaplikasikan dalam kehidupan mereka. Hal ini sudah tentulah akan membantu dalam pembinaan keluarga islamik. Sebagimana contoh yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w dalam kehidupan rumah tangganya, baginda telah meninggalkan contoh teladan kepada kita betapa baginda berlaku adil dan baik kepada keluarganya. Di mana dalam sebuah hadis, baginda telah bersabda, yang bermaksud: “Orang yang paling baik di antara kamu adalah yang paling baik dengan keluarganya dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku.” (Hadis riwayat Tabrani).

Selain itu, yang ketiga ialah mengamalkan sikap berkerjasama dalam keluarga. Sikap kerjasama antara suami dan isteri dalam mengurus rumah tangga juga perlu diamalkan. Sikap kerjasama khususnya dalam urusan pendidikan anak-anak adalah perkara yang sangat penting. Kerjasama yang baik dalam mendidik anak-anak antara lain dalam bentuk sama-sama meningkatkan kesalihan diri masing-masing sebagai orang tua kerana mendidik anak mesti dengan teladan yang baik, juga tidak ada pertentangan antara sikap bapa dengan ibu dalam mendidik anak dan sebagainya. Keharusan kita bekerjasama dalam perkara-perkara yang baik telah difirmankan Allah s.w.t dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebaikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan maksiat”.

Perkara keempat yang perlu diambil kira di dalam pembentukan keluarga islam ialah saling menutupi kekurangan di mana suami dan isteri tentu saja memiliki banyak kekurangan, bukan saja kekurangan dari segi fizikal, tetapi juga sifat-sifat yang ada pada diri mereka. oleh kerana itu suami isteri yang baik tentu saja akan menutupi kekurangan-kekurangan tersebut seperti tidak suka menceritakannya kepada orang lain, termasuk kepada orang tuanya sendiri. Walaupun begitu, dengan tujuan untuk berunding ke arah kebaikan, maka boleh menceritakan kekurangan sifat-sifat suami atau isteri kepada orang yang dipercayai.

Di samping itu, rumah juga harus berfungsi seperti madrasah atau sekolah yang anggota keluarganya harus memperoleh ilmu dan pembinaan perwatakan sehingga suami dan isteri diharapkan berperanan seperti guru bagi anak-anaknya dengan memberikan ilmu dan contoh teladan yang baik.

Apa yang juga penting dalam kehidupan sekarang dan masa mendatang ialah menjadikan keluarga sebagai benteng pertahanan yang memberikan kekuatan pertahanan akidah dan keperibadian dalam menghadapi segala godaan kehidupan yang semakin banyak menjerumuskan manusia ke lembah kehidupan yang berupa maksiat pada pandangan Allah s.w.t dan Rasul-Nya.

Kesimpulannya,membangun rumah tangga yang Islamik merupakan sesuatu yang sukar. Banyak rintangan, baik dari aspek dalaman mahupun dari aspek luaran yang harus dihadapi. Namun begitu, harus diingatkan bahawa rintangan yang besar dan banyak itu bukan bermakna tidak boleh atau tidak berupaya membangun rumah tangga yang Islamik. Setiap daripada kita mesti yakin akan kemungkinan keupayaan membentuk rumah tangga yang Islamik, dan kalau kita sudah yakin, maka kita dituntut membuktikan keyakinan itu dengan penuh kesungguhan.Ini adalah kerana melaksanakan ajaran Islam memang amat dituntut kesungguhan yang besar. Wallahu a’lam.

2 comments:

zafirahzol said...

salam.menarik akan isu ini.benar, setiap manusia sememangnya fitrah untuk berkeluarga dan mengimpikan keluarga yang bahagia mengikut cara Islam. kita sebagai pendakwah sama-samalah bersatu untuk menunjukkan teladan kepada sahabat-sahabat kita agar dapat mengikut cara kaluarga Islam yang betul. kepada yang sudah benar2 lengkap digalakkan untuk mempercepatkan perkahwinan agar mengelakkan dari maksiat yang kita tidak sedari.wasalam

Simfoni Islam said...

salam. isu pembinaan keluarga Islam ini amat releven sekali bagi pasangan yang ingin berumah tangga seperti penulis blog ini yang melangsungkan perkahwinan pada tahun 2012. Insya Allah.. semoga dengan apa yang dikemukakan ini dapat membantu umat Islam pada masa kini dengan HIKMAH..