Monday, October 20, 2008

Isu Ekonomi Islam

Berjimat, berhemah tingkat produktiviti

Isu kenaikan harga barang dan perkhidmatan pada masa kini menjadi satu isu yang menjadi persoalan besar kepada masyarakat khususnya umat Islam. Lazimnya ia berlaku apabila ada kenaikan harga barang tertentu yang menyebabkan kos barangan dn perkhidmatan lain turut naik. Mengikut teori ekonomi, harga terpaksa dinaikkan oleh peniaga apabila kos barangan atau perkhidmatan meningkat.

Sebagai pengguna, umat Islam terpaksa menerima hakikat tersebut biarpun terpaksa menanggung kerugian kerana terpaksa menyediakan belanja lebih berbanding biasa. Namun begitu,kita tidak sepatutnya menjadi mangsa sepenuhnya. Sebagai pengguna, kita perlu bijak dan mempunyai banyak pilihan untuk mengurangkan kesan tekanan ekonomi keluarga akibat kenaikan harga. Islam telah menyediakan garis penduan yang sesuai bagi umatya bagi menghadapi situasi seperti ini di mana panduan ini sesuai diamalkan sepanjang masa bertepatan dengan ajaran Islam yang relevan sepanjang masa.

Antara ajaran Islam ialah menganjurkan agar umatnya sentiasa berjimat cermat dalam semua urusan hidup. Pembaziran amat ditegah dalam Islam kerana akan menimbulkan kesan buruk kepada diri sendiri mahupun pihak lain. Sikap berjimat memperlihatkan unsur kebijaksanaan di dalam diri individu. Orang yang bijak dalam berbelanja mengikut keperluan dan bukannya mengikut hawa nafsu. Sebelum berbelanja kita seharusnya memikirkan dahulu apakah rasional perbelanjaan tersebut. Jumlah perbelanjaan melebihi jumlah pendapatan akan menyebabkan timbunan hutang yang tidak mampu dijelaskan. Ini biasanya berlaku apabila individu gagal mengawal nafsu ketika berbelanja.

Seterusnya aspek lain dalam perbelanjaan yang mesti diutamakan ialah berhemah yang bermaksud mengawal perbelanjaan dan penggunaan mengikut keperluan. Hal ini untuk mengelakkan daripada membelanjakan wang untuk perkara yang tidak berfaedah. Perbelanjaan tanpa kawalan menyebabkan sumber kewangan tidak dapat menampung keperluan semasa. Sekiranya mempunyai pendapatan lebih, umat Islam khususnya perlu mengamalkan sikap menabung, atau menggunakan wang lebihan untuk pelaburan atau membeli saham untuk kegunaan pada masa hadapan sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud “simpanlah sebahagian harta kamu untuk kebaikan masa depan kamu,kerana itujauh lebih baik bagimu”. (Hadis riwayat Bukhari)

Sikap berhemah dalam menguruskan keperluan hidup seharian penting diamalkan bagi memastikan kebahagiaan hidup berterusan. Sebagaimana Rasulullah s.a.w sentiasa berhemah dan melihat jauh kehadapan bagi memastikan keperluan keluarga tidak terjejas. Diriwayatkan bahawa baginda s.a.w pernah membeli kurma yang cukup-cukup untuk keperluan setahun keluargnya. Namun,ketika mana kurma itu diperlukan untuk disedekahkan kepada orang miskin dan saudara mara yang memerlukan, Rasulullah mengutamakan sedekah sebagai keperluan utama. Ini kerana memenuhi keperluan semasa adalah yang lebih utama. Jika ada rezeki yang lebih boleh disimpan untuk keperluan masa hadapan.

Seterusnya, bersederhana adalah langkah bijak yag dianjurkan Islam bagi kesejahteraan yang berterusan. Sebagai umat Islam, kita tidak perlu berbelanja lebih semata-mata untuk memaksimumkan kepuasan. Kepuasan sebenarnya bergantung kepada cara mana kita menghargai setiap apa yang dimiliki dan dirasai sebagaimana firman Allah yang bermaksud “Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) Yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut, dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu”.

Perbelanjaan itu secara dasarnya memang mendatangkan kebaikan, namun disebabkan terlalu banyak berbelanja menyebabkan sesuatu itu tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Justeru itu, buatlah anggaran sebenar penggunaan yang diperlukan untuk mengelak pembaziran. Jika penggunaan lebih diperlukan ia boleh ditanbah kemudian.

Untuk menampung peningkatan kos hidup akibat kenaikan harga barangan, maka kita perlu meningktkan pendapatan. Perkara ini dapat dilakukan dengan meningkatkan produktiviti yang Sekaligus meningkatkan pendapatan. Namun hal ini lebih mudah dilakukan oleh mereka yang dibayar upah atau mendapat untung berdasarkan produktiviti. Peningkatan pendapatan golongan ini dapat dilakukan dalam tempoh masa yang singkat berbanding golongan berpendapatan tetap seperti kakitangan kerajaan yang perlu berusah keras untuk mendapat kenaikan gaji.

Namun begitu, cepat atau lambat kita menikmati kenaikan pendapatan, yang penting bagi umat Islam kita perlu melakukannya atas dasar memenuhi tuntutan agama yang amat mementingkan soal meningkatkan produktiviti. Kerana Allah amat menyukai orang yang gigih dalam melakukan pekerjaan. Ini kerana sesiapa yang melakukan seperti apa yang dianjurkan dan menajuhi apa yang dilarang agama, pasti akan dapat menghadapi cabaran hidup dengan lebih tenang. Wallahu a’lam.

1 comments:

nira said...

Saya bersetuju dengan isu ekonomi Islam ini.Dalam ekonomi Islam ini mengajar kita supaya berjimat cermat dan elakkan daripada pembaziran. Ekonomi Islam ini mengajar manusia supaya bersederhana dalam berbelanja.