Thursday, October 16, 2008

Isu Politik Islam


Amanah Dalam memilih pemimpin

Pemimpin adalah orang yang melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah di kawasan yanh ditadbirnya. Tanggungjawab khalifah sebagaimana yang disebut oleh Imam Al-Mawardi ialah kewajipan melaksana,menegakkan agama serta mengurus, mentadbir dan memakmurkan dunia ini dengan cara yang tidak bercanggah dengan agama. Kepimpinan itu merupakan satu amanah, begitu juga dalam soal melantik pemimpin juga adalah satu tanggungjawab dan amanah yang wajib ditunaikan mengikut landasan syarak.

Ini kerana, sekiranya berlaku kesilapan dalam memilih pemimpin,ini bermaksud kita menyerahkan sesuatu urusan kepada mereka yang tidak layak menerimanya dan perbuatan ini jelas melanggar ajaran Islam sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud “sekiranya amanah itu disia-siakan maka tunggulah kehancuran”. Lalu para sahabat bertanya bagaimana dikatakan amanah itu disia-siakan?lalu baginda menjawab : “amanah itu disia-siakan apabila kamu menyerahkan sesuatu urusan kepada mereka yang tidak layak memikulnya,maka tunggulah akan kehancuran”.

Namun, apabila dilihat fenomena masyarakat Islam pada hari ini pemimpin yang dipilih ada sebahagiannya yang tidak memenuhi syarat yang diletakkan oleh Islam itu sendiri. Jika diteliti terdapat beberapa ciri pemimpin yang wajib dipenuhi untuk kita sebagai umat Islam dalam memilih pemimpin antaranya seperti berikut :

1) Pemimpin yang dipilih itu hendaklah mempunyai akidah dan keimanan kepada Allah s.w.t

2) Pemimpin yang dipilih itu juga hendaklah mempunyai keperibadian dan sahsiah yang baik. Ini kerana sekiranya pemimpin itu adalah orang yang buruk akhlaknya, maka amanah yang diberikan akan mudah dikhianati dengan amalan-amalan haram seperti rasuah,penipuan dan penyelewengan harta rakyat.

3) Pemimin yang dipilih itu juga mestilah seorang yang bijak meletakkan amanah pada tempatnya. Di mana antara amanah paling penting bagi seorang pemimpin ialah menegakkan syariat Allah s.w.t berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah.

Masyarakat Islam pada hari ini, dihidangkan dengan pelbagai senario dalam pemilihan pemimpin terutamanya pada musim pilihanraya. Umat Islam pada hari ini sewajarnya menyedari untuk memilih pemimpin bukanlah sesuatu yang mudah dan selaku umat Islam yang berpegang kepada Al-Quran dan As-sunnah kita seharusnya bijak memilih pemimpin yang bakal membawa generasi Islam kearah jalan yang diredhoi oleh Allah s.w.t. Wallahu a’lam.

0 comments: