Monday, October 20, 2008

Isu Negara Islam

Sumber perlembagaan Islam

Menurut Sayyid Abul A’la Al-Maududi, sumber perlembagaan islam terdapat empat jenis iaitu :

1) Al-Quran al-Karim

- Al-quran merupakan sumber rujukan pertama dan asas dalam sumber perlembagaan Islam. Ini kerana didalamnya terkandung semua perintah Allah s.w.t yang meliputi keseluruhan aspek kehidupan dan kewujudan manusia. Di dalamnya bukan sahaja terdapat perintah-perintah yang berkaitan tingkah laku individu, malahan segala aspek-aspek yang mengatur segala kehidupan social manusia. Di dalamnya juga telah ditunjukkan dengan jelas mengapa orang Islam mesti berusaha mnegakkan dan membina Negara mereka sendiri.

2) As-Sunnah

- As-Sunnah merupakan sumber rujukan Islam yang kedua di mana ia juga turut menjadi sumber rujukan kedua kepada perlembagaan Islam. As-Sunnah merintis jalan bagaimana Rasulullah s.a.w menterjemahkan fikrah islamiyyah ke dalam bentuk amali mengikut sorotan manhaj al-quran yang membentuknya menjadi sebuah pemerintahan social yang positif dan akhirnya membentuk sebuah Negara Islam yang cukup besar

3) Khalifah Al-Rasyidin

- Khalifah al-Rasyidin merupakan sumber ketiga bagi sumber perlembagaan Islam. Di mana, kita perlu merujuk dan melihat bagaimana khalifah-khalifah membuat keputusan dan mentadbir daulah Islamiyyah selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. sebagai contohnya isu penafsiran al-Quran dan As-sunnah yang mendapat persetujuan daripada ijma’ sahabat adalah contoh terbaik yang menunjukkan bahawa keputusan-keputusan berkenaan kenegaraan perlu mendapat persetujuan daripada mereka yang ahli dalam bidang ini dan mempunyai authoriti dalam membuat keputusan.

4) Fatwa Mujahid Mu’tabar

- Fatwa ini menjadi sumber rujukan yang keempat bagi sumber perlembagaan Islam di mana ia merupakan keputusan-keputusan yang dibuat oleh para fuqaha’ yang mu’tabar mengenai pelbagai masalah berkaitan dengan sumber perundangan islam yang muncul pada zamannya. Namun ia mungkin tidak muktamad, namun ia tidak boleh dinafikan bahawa ia mengandungi petunjuk dalam pembuatan perlembagaan yang berasaskn islam.

Kesimpulannya, sumber perlembagaan Islam menurut al-Maududi ialah berdasarkan kepada empat jenis ini. Sebagai umat Islam khususnya pemimpin Islam perlu mengambil berat akan hal ini dalam proses pindaan atau pembuatan perlembagaan Islam. Wallahu a’lam.



Negara Islam:Satu Tinjauan di Malaysia

Dewasa ini isu negara islam menjadi antara isu yang hangat diperkatakan oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia. Isu ini menimbulkan kontroversi bukan sahaja di kalangan Muslim tetapi juga bukan Muslim. Bagi seorang muslim yang memahami serta mendapat gambaran sebenar tasawwur “negara Islam” di zaman Nabi Muhammad s.a.w dan zaman-zaman khalifah selepas baginda, ianya tidak menimbulkan sebarang keraguan. Malah, “negara Islam” yang dimaksudkan itu sentiasa menjadi impian bagi seseorang Muslim yang mempunyai persepsi yang jelas mengenai rupa bentuk negara Islam.

Manakala bagi orang yang tidak mendapat gambaran yang jelas dan tidak memahami konsep serta tasawwur “negara Islam” yang dimaksudkan, samada mereka itu orang Islam atau bukan Islam, maka sudah pasti mereka akan ragu-ragu dan menolaknya. Apatah lagi apabila ada pihak yang tidak suka kepada Islam atau “negara Islam” itu menjalankan propaganda negatif dan memberikan gambaran yang salah kepada orang ramai khususnya kepada orang bukan Islam.

Justeru tidak hairanlah jika ada orang yang menolak cadangan “negara Islam” yang ingin diketengahkan oleh beberapa golongan samada badan bukan kerajaan atau parti politik atau individu. Apabila ini berlaku, maka sukar bagi umat Islam untuk menyalahkan orang bukan Islam yang menolak “negara Islam” kerana mereka sememangnya tidak memahami kondep sebenar negara Islam. Apabila seseorang itu tidak mempunyai maklumat yang betul atau benar, sudah tentu ia akan ragu-ragu dan kadangkala akan memusuhi pihak yang satu lagi. Ini bermakna umat Islam khususnya mesti menyahut cabaran bagi memberikan penjelasan demi penjelasan mengenai apa yang dimaksudkan dengan “negara Islam.” Ringkasnya usaha dakwah dalam menyampaikan maksud sebenar konsep dan tasawwur negara Islam serta kebaikan dan keadilan dalam pemerintahan Islam.

Umat islam khususnya perlu mengetahui bahawa isu negara islam ini seringkali disalah tafsir. Negara Islam tidak boleh diukur dengan kuantiti penduduk di sebuah negara samada majoriti atau minoriti masyarakat Islam di sesebuah negara. Sejarah telah membuktikan bahawa orang-orang bukan Islam telah menerima kewujudan kerajaan Islam yang memerintah mereka. Buktinya dapat dilihat dengan penubuhan Kerajaan Islam Madinah yang diketuai oleh Rasulullah s.a.w merupakan kerajaan Islam yang pertama dengan didiami oleh masyarakat berbilang bangsa. kemudian Kerajaan Islam minoriti yang diketuai oleh Abu Musa Al-Asya’ari di Yaman, Kerajaan Islam minoriti Umaiyyah di Andalus dan Kerajaan Islam minoriti Mataram di Jawa, telah membuktikan bahawa “negara Islam” pernah wujud dalam negara di mana majoriti rakyatnya ialah bukan Islam dan yang memerintah negara berkenaan ialah orang Islam.

Negara Islam sebenarnya bukan dinilai berdasarkan banyaknya masjid-masjid atau sekolah-sekolah agama untuk umat islam atau banyaknya program-program agama yang dijalankan. Namun negara Islam perlu didasari oleh syahadah iaitu “Tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah”, di mana negara itu perlu berpaksikan kepada Al-Quran dan As-sunnah dalam segenap bidang samada dari segi corak pemerintahan, politik,pembinaan umat, fizikal, jasmani, hukuman dan sebagainya. Apabila sesebuah negara itu telah berjaya mengamalkan aspek diatas barulah wajar sesebuah negara itu digelar negara Islam.

Tanah melayu(Malaysia) sendiri sebenarnya suatu ketika dahulu pernah menjadi negara yang mengamalkan pemerintahan Islam. Melalui sejarah dapat dilihat perkembangan Islam di tanah Melayu yang begitu pesat bermula dengan Kerajaan Islam pertama di Semenanjung Tanah Melayu iaitu Kerajaan Islam Kelantan (pertengahan abad ke-12) yang mendapat gelaran Serambi Makkah. Seterusnya kerajaan Islam terkuat dan berpengaruh besar dalam menyebarkan Islam di Malaysia adalah Kerajaan Islam Melaka yang berdiri pada awal abad ke-15, dimana melalui kerajaan Melaka inilah Islam berkembang pesat di negeri-negeri taklukannya seperti Kedah, Pattani, Rokan, Kampar dan lain-lain.

Namun, dengan kemasukan penjajah di semenanjung Tanah Melayu sekitar tahun 1511 hingga ratusan tahun kemudiannya, semenanjung tanah melayu sudah hilang identiti negara Islamnya. Dengan pengenalan undang-undang sekular yang menggantikan undang-undang Islam diperkenalkan barat pada zaman penjajahan, maka umat Islam setelah merdeka seolah-olah sudah hilang identiti Islamnya, melalui program serangan pemikiran atau ghazwah al-fikr yang direncana barat dari segala aspek samada politik, pendidikan, dan ekonomi akhirnya umat Islam sendiri menjadi salah faham terhadap Islam dan ragu-ragu dengan ajaran islam itu sendiri. Hatta sehingga ke hari ini di Malaysia sendiri masih menggunakan undang-undang sekular yang diperkenalkan barat. Jika dilihat hanya negeri Kelantan yang masih bertahan dengan negeri yang mengamalkan Islam sepenuhnya.

Sebagai kesimpulannya, umat Islam khususnya perlu mengambil berat akan isu negara Islam ini. Konsep negara Islam perlu difahami dan diteliti. Betapa indahnya jika negara Malaysia yang tercinta ini dapat menjadi negara Islam seperti kota madinah yang dibina oleh junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w di mana tiadanya persengketaan, aman damai dan makmur. Persoalannya, bilakah negara ini akan menjadi negara Islam dengan erti kata yang sebenarnya. Jawapannya ialah menjadi tugas para da’ie dan umat Islam khususnya untuk memberi dan menjelaskan kefahaman sebenar tentang negara Islam kepada umat Islam dan bukan Islam yang masih kekurangan informasi tentang negara Islam sebenarnya. Wallahu a’lam.

0 comments: