Thursday, October 23, 2008

KOnSep BLoG SaYa


Assalamualaikum

Warahmatullahi

Wabarakatuh.....

بسم الله الرحمن الرحيم

Bersyukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurniaannya, saya dapat juga menyiapkan blog ini. Blog ini merupakan hasil kerja saya sendiri dimana blog ini pada asalnya adalah bagi memenuhi keperluan khusus Teknologi Maklumat Dakwah. Namun begitu, setelah meneroka dan mengetahui tentang blog saya merasakan bahawa blog merupakan medium yang sangat berguna khususnya kepada para daie di zaman ledakan maklumat ini. Dengan berkonsepkan dakwah semasa, saya meletakkan beberapa isu sebagai tumpuan utama saya di dalam penulisan blog ini. Antara isu yang dikemukan ialah Isu Pembinaan Keluarga Islam, Isu Pendidikan, Isu Akidah dan lain-lain yang boleh dilihat di blog saya.

Isu-isu ini dikupas di dalam blog ini kerana meruncingnya keadaan umat Islam pada masa kini samada dari aspek politik, ekonomi, pendidikan, penghayatan agama dan akidah. Jika kita mengikuti perkembangan semasa generasi kini mempunyai banyak cabaran, dengan ledakan informasi maklumat yang boleh dicapai hanya sekelip mata sahaja, umat Islam boleh mengikuti segala fenomena dunia tidak sampai satu saat. Hal ini sebenarnya merupakan satu keuntungan, sekiranya digunakan di tempat yang betul, namun jika ia disalahgunakan maka inilah yang akan membawa kemudharatan kepada umat Islam. Justeru itu, isu-isu yang diketengahkan di dalam blog ini memberikan sedikit gambaran tentang fenomena generasi Islam kini yang mana jika kita tidak mengambil berat dan mencari alternatif penyelesaiannya, saya yakin dan pasti umat Islam pada generasi akan datang akan menghadapi masalah ummah yang serius.

Oleh itu, sahabat-sahabat boleh membaca isu selanjutnya dengan melayari blog ini. Terima kasih tidak terhingga kepada Prof Madya Dr. Zulkiple bin Abd. Ghani kerana telah mendedahkan kepada kami tentang kepentingan blog sebagai salah satu medium dakwah alam maya. Saya juga berharap agar rakan-rakan dapat memberikan komen, teguran serta membetulkan sekiranya terdapat mana-mana kesalahan semasa dalam proses perbincangan isu-isu di blog ini. Sekian, terima kasih. Wassalam.

ISu PEngHayAtan ISlaM

Penghayatan al-Quran ke arah membasmi gejala sosial

PERMASALAHAN sosial yang melanda remaja hari ini adalah merupakan satu isu yang telah banyak diperkatakan, di mana pelbagai pendekatan telah diambil untuk menangani masalah ini dari terus merebak di kalangan remaja kita.Satu hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah remaja hari ini adalah merupakan bakal pemimpin di masa depan, dan oleh yang demikian, masalah sosial di kalangan mereka sudah seharusnya diberi keutamaan untuk diselesaikan.Walaupun pelbagai pendekatan dikatakan mampu menangani masalah ini, namun tidak dapat kita nafikan bahawa satu pendekatan yang paling baik dan berkesan adalah menerusi pendekatan agama.

Hakikat bahawa pegangan agama yang utuh mampu mengelakkan anak-anak kita dari terjebak dalam kancah gejala sosial sememangnya diakui ramai, termasuklah di kalangan golongan pendidik.Salah satu cara yang dilihat mampu menanamkan pegangan agama yang kental di sanubari anak-anak adalah menerusi al-Quran. Ini bukan setakat membaca semata-mata tetapi lebih kepada pemahaman dan penhayatan segala apa yang terkandung dalam kitab suci tersebut.Mungkinkah segala permasalahan sosial yang kita saksikan hari ini adalah berpunca dari hakikat bahawa semakin ramai anak-anak kita yang sudah tidak mendekati al-Quran? Mungkinkah segala permasalahan ini berpunca dari penghayatan al-Quran yang semakin longgar?Yang pastinya, penyelesaian yang dicari tidak mungkin akan dapat ditemui sekiranya kita hanya setakat mencari sebab-musababnya tanpa melakukan sesuatu yang proaktif bagi mengatasi masalah tersebut.

Pendidikan agama serta penghayatan al-Quran yang kurang mantap adalah salah satu faktor penyebab dalam keruntuhan akhlak remaja hari ini.'Kitab suci al-Quran merupakan satu panduan serta pedoman untuk setiap umat manusia sehingga akhir zaman di mana penghayatan al-Quran yang kukuh akan memastikan kejayaan seseorang, bukan saja di dunia bahkan juga di akhirat sebagaimana Firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 9 yang bermaksud :"Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam) dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.

Kesimpulannya, penghayatan al-Quran akan dapat membina kualiti pembangunan modal insan selain dapat menyumbang kepada pembentukan ummah yang lebih cemerlang. Dan dalam konteks para remaja pula, ia akan menjadi ibarat benteng kukuh yang akan melindungi mereka dari godaan hawa nafsu yang sekiranya tidak dikekang akan menyebabkan mereka terlontar ke lembah kehinaan.

Wednesday, October 22, 2008

Isu Akidah Islam

Beriman perkara ghaib : Uji Keimanan

Beriman kepada perkara yang ghaib merupakan satu antara ciri-ciri orang yang bertaqwa kepada Allah S.W.T. Hal ini sebagaiman firman Allah s.w.t di dalam surah al-Baqarah ayat 3 yang bermaksud “Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki Yang Kami berikan kepada mereka.

Menurut bahasa, istilah ghaib berasal dari perkataan ghaaba, yaghibu atau ghaiban yang bermaksud sesuatu yang tidak dapat dillihat atau dirasai oleh pancaindera manusia yang lima kerana manusia tidak mampu mencapainya. Dari segi istilah perkara ghaib merujuk kepada perkara yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera tetapi diakui dan diyakini dengan jalan pemerhatian dan pemikiran berdasarkan dalil-dalil al-Quran dan as-Sunnah yang boleh diterima sesuai dengan fitrah manusia.

Secara umumnya, umat manusia yang mendiami alam semesta ini terbahagi kepada dua kategori. Kategori pertama ialah golongan manusia yang percaya hanya kepada benda yang nyata, yang boleh dilihat,dipegang, dan dirasai. Mereka tidak percaya adanya kehidupan lain di sebalik bumi yang nyata ini, di mana mereka tidak mempercayai adanya Tuhan, malaikat dan benda-benda ghaib. Kategori kedua pula ialah golongan yang percaya di sebalik bumi yang nyata ini, ada satu alam ghaib yang tersembunyi dari pengetahuan manusia yang berada di bawah kekuasaan Allah s.w.t.

Setiap orang Islam yang mukallaf wajib percaya atau beriman kepada perkara-perkara ghaib kerana Allah s.w.t, Tuhan yang kita sembah merupakan zat yang maha ghaib. Di mana Allah s.w.t tidak dapat dicapai dengan pancaindera yang lima. Sebaliknya ia dapat dirasai oleh jiwa yang beriman dan bertaqwa. Inilah merupakan ujian dn cabaran manusia, dimana sekiranya manusia tidak mempercayai perkara ghaib akan menjadikannya terpesong dari Agama Allah S.W.T.

Selain itu, Allah s.w.t telah menciptakan pelbagai perkara ghaib yang lain seperti malaikat yang dijadikan daripada nur yang memiliki watak yang sentiasa taat kepada Allah. Makhluk syaitan yang dicipta oleh Allah dari api, yang tugasnya adalah menyesatkan manusia. Manakala kita juga perlu percaya kepada kewujudan jin yang Allah s.w.t ciptakan juga dari api tetapi memiliki karekter yang hampir sama dengan manusia dimana jin juga tidak terlepas dari syaitan yang menyesatkan. Dimana ketiga-tiga makhluk ciptaan tuhan ini adalah makhluk yang thidup di alam ghaib dan tidak dapat dijangkaui oleh manusia yang bersifat lemah ini.

Oleh sebab itu, menjadi kewajipan kepada muslim yang beriman ialah mempercayai kewujudan makhluk ghaib ini sebagai satu bentuk ujian dalam kehidupan manusia di dunia ini. Samada manusia akan menjadikan makhluk Allah s.w.t iaitu syaitan dan jin sebagai pembantunya selain Allah s.w.t ataupun hanya Allah sahaja yang menjadi satu-satunya tempat berlindung dan bergantung harapan manusia dalam kehidupan ini.

Kesimpulannya, beriman kepada perkara ghaib ini adalah saru perkara yang wajib dipercayai dan diimani oleh seorang yang bergelar Islam. Di mana perkara ini merupakan dugaan dan cabaran kepada kita umat Islam kerana hal ini tidak dapat dicapai dengan pancaindera yang lima. Hanya dengan iman dan taqwa sahajalah manusia akan dapat merasai dan menikmati apa yang dikatakan beriman dengan perkara ghaib. Wallahu a’lam.

Isu Pendidikan Anak-Anak



Anak-Anak Harta Paling Berharga

Anak-anak merupakan anugerah yang tidak ternilai yang dikirimkan oleh Allah kepada ibu bapa sebagai rahmat dan ujian buat mereka. Anak-anak jika dididik dengan didikan yang sempurna berlandaskan syariat akan menjadi rahmat bagi ibu manakala sebaliknya akan menjadi ujian buat keduanya. Hari ini, jika diteliti golongan anak-anak terutama pada peringkat remaja semakin ramai yang terjebak dalam gejala yang kurang sihat. Persoalannya siapakah yang bersalah?. Dalam konteks dunia serba maju ibu bapa tidak boleh menyalahkan anak,atau guru sepenuhnya. Malahan mereka perlu muhasabah kemungkinan adanya lompong-lompong kosong yang tidak diisi dalam diri anak-anak.

Justeru itu, mari kita melihat beberapa aspek yang penting dalam mendidik anak-anak khasnya remaja Islam yang keadaan sosialnya semakin meruncing. Aspek pertama dari segi masa berkualiti yang diperuntukkan untuk bersama anak-anak. Ibu bapa seharusnya menggunakan masa yang berkualiti untuk mendampingi anak-anak dan berbicara serta serta berbincang bersama-sama mereka tentang diri mereka. Anak-anak akan berasa gembira dan dihargai apabila ibu bapa mereka memberikan perhatian kepada mereka. Ini akan mengurangkan mereka dari mencari hiburan luar yang tidak sihat sekiranya mereka menghadapi masalah.

Aspek kedua pula ialah, membantu anak-anak mengetahui matlamat penciptaan dirinya oleh Allah s.w.t. Ibu bapa perlu sentiasa membantu anak-anak memahami apakah matlamt penciptaannya, ke mana arah tujunya dan siapakah dirinya yang sebenar. Ibu bapa juga berperanan membantu anak-anak melihat dan mengeluarkan potensi diri mereka sebagai khalifah yang dijadikan Allah s.w.t untuk memakmurkan dunia ini. Sekiranya anak-anak memahami kosep ini, maka tidak akan berlaku lagi masalah sosial dan keruntuhan akhlak di kalangan generasi umat Islam pada hari ini.

Aspek ketiga dalam mendidik anak-anak, ialah ibu bapa perlu menjadi uswatun hasnah iaitu contoh tauladan yang terbaik bagi anak-anak. Kerana anak-anak yang cemerlang lahirnya daripada ibu bapa yang cemerlang dari segala aspek kehidupan. Ibu bapa perlu ingat bahawa didikan anak-anak adalah melalui tauladan dan bukannya paksaan. Jika ibu bapa inginkan anak-anak sempurna maka mereka terlebih dahulu perlu sempurna. Misalnya inginkan anak berkelakuan baik tidak mencukupi seandaikan ibu bapa tidak berkelakuan seperti yang diinginkan. Ibu bapa harus sedar 80 % pembelajaran adalah melalui visual bukan melalui pendengaran. Kerana itulah role model yang terbaik adalah melalui contoh tauladan. Anak-anak sudah pasti menjadikan ibu bapa sebagai salah satu model mereka kerana bagi mereka ibu bapa adalah yang paling hebat.

Akhirnya, aspek yang paling penting ialah membekalkan anak-anak dengan bekalan akhirat yang secukupnya. Sememangnya tidak dinafikan ramai ibu bapa mengatakan mereka telah memberikan didikan agama yang paling baik kepada anak-anak. Namun yang hairannya mengapa mereka masih terlibat dalam gejala yang tidak sihat. Sebenarnya ini adalah kerana kurangnya penghayatan agama dalam diri anak-anak. Walaupun penghayatan merupakan perkara subjektif untuk diukur, ibu bapalah yang mampu untuk membantu anak-anak untuk memahami tentang agama dengan membantu mereka melihat apakah matlamat hidup mereka sebenarnya. Pengamalan amalan berunsur keislaman di dalam rumah tangga turut membantu anak-anak dalam membekalkan jiwa mereka untuk berada di atas jalan yang benar.

Kesimpulannya, didikan anak-anak bermula dari rumah. Keperibadiaan anak-anak akan melambangkan ibu bapa mereka. Jadi bukan mudah untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang bergelar khalifah di muka bumi Allah ini. Hanya dengan kesabaran serta kesungguhan yang tinggi dari ibu bapa serta mengharapkan pertolongan dan kerhedaan Illahi sahaja yang mampu untuk menjadikan anak-anak sebagai khair ummah yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Wallahu a’lam.

Monday, October 20, 2008

Isu Negara Islam

Sumber perlembagaan Islam

Menurut Sayyid Abul A’la Al-Maududi, sumber perlembagaan islam terdapat empat jenis iaitu :

1) Al-Quran al-Karim

- Al-quran merupakan sumber rujukan pertama dan asas dalam sumber perlembagaan Islam. Ini kerana didalamnya terkandung semua perintah Allah s.w.t yang meliputi keseluruhan aspek kehidupan dan kewujudan manusia. Di dalamnya bukan sahaja terdapat perintah-perintah yang berkaitan tingkah laku individu, malahan segala aspek-aspek yang mengatur segala kehidupan social manusia. Di dalamnya juga telah ditunjukkan dengan jelas mengapa orang Islam mesti berusaha mnegakkan dan membina Negara mereka sendiri.

2) As-Sunnah

- As-Sunnah merupakan sumber rujukan Islam yang kedua di mana ia juga turut menjadi sumber rujukan kedua kepada perlembagaan Islam. As-Sunnah merintis jalan bagaimana Rasulullah s.a.w menterjemahkan fikrah islamiyyah ke dalam bentuk amali mengikut sorotan manhaj al-quran yang membentuknya menjadi sebuah pemerintahan social yang positif dan akhirnya membentuk sebuah Negara Islam yang cukup besar

3) Khalifah Al-Rasyidin

- Khalifah al-Rasyidin merupakan sumber ketiga bagi sumber perlembagaan Islam. Di mana, kita perlu merujuk dan melihat bagaimana khalifah-khalifah membuat keputusan dan mentadbir daulah Islamiyyah selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. sebagai contohnya isu penafsiran al-Quran dan As-sunnah yang mendapat persetujuan daripada ijma’ sahabat adalah contoh terbaik yang menunjukkan bahawa keputusan-keputusan berkenaan kenegaraan perlu mendapat persetujuan daripada mereka yang ahli dalam bidang ini dan mempunyai authoriti dalam membuat keputusan.

4) Fatwa Mujahid Mu’tabar

- Fatwa ini menjadi sumber rujukan yang keempat bagi sumber perlembagaan Islam di mana ia merupakan keputusan-keputusan yang dibuat oleh para fuqaha’ yang mu’tabar mengenai pelbagai masalah berkaitan dengan sumber perundangan islam yang muncul pada zamannya. Namun ia mungkin tidak muktamad, namun ia tidak boleh dinafikan bahawa ia mengandungi petunjuk dalam pembuatan perlembagaan yang berasaskn islam.

Kesimpulannya, sumber perlembagaan Islam menurut al-Maududi ialah berdasarkan kepada empat jenis ini. Sebagai umat Islam khususnya pemimpin Islam perlu mengambil berat akan hal ini dalam proses pindaan atau pembuatan perlembagaan Islam. Wallahu a’lam.



Negara Islam:Satu Tinjauan di Malaysia

Dewasa ini isu negara islam menjadi antara isu yang hangat diperkatakan oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia. Isu ini menimbulkan kontroversi bukan sahaja di kalangan Muslim tetapi juga bukan Muslim. Bagi seorang muslim yang memahami serta mendapat gambaran sebenar tasawwur “negara Islam” di zaman Nabi Muhammad s.a.w dan zaman-zaman khalifah selepas baginda, ianya tidak menimbulkan sebarang keraguan. Malah, “negara Islam” yang dimaksudkan itu sentiasa menjadi impian bagi seseorang Muslim yang mempunyai persepsi yang jelas mengenai rupa bentuk negara Islam.

Manakala bagi orang yang tidak mendapat gambaran yang jelas dan tidak memahami konsep serta tasawwur “negara Islam” yang dimaksudkan, samada mereka itu orang Islam atau bukan Islam, maka sudah pasti mereka akan ragu-ragu dan menolaknya. Apatah lagi apabila ada pihak yang tidak suka kepada Islam atau “negara Islam” itu menjalankan propaganda negatif dan memberikan gambaran yang salah kepada orang ramai khususnya kepada orang bukan Islam.

Justeru tidak hairanlah jika ada orang yang menolak cadangan “negara Islam” yang ingin diketengahkan oleh beberapa golongan samada badan bukan kerajaan atau parti politik atau individu. Apabila ini berlaku, maka sukar bagi umat Islam untuk menyalahkan orang bukan Islam yang menolak “negara Islam” kerana mereka sememangnya tidak memahami kondep sebenar negara Islam. Apabila seseorang itu tidak mempunyai maklumat yang betul atau benar, sudah tentu ia akan ragu-ragu dan kadangkala akan memusuhi pihak yang satu lagi. Ini bermakna umat Islam khususnya mesti menyahut cabaran bagi memberikan penjelasan demi penjelasan mengenai apa yang dimaksudkan dengan “negara Islam.” Ringkasnya usaha dakwah dalam menyampaikan maksud sebenar konsep dan tasawwur negara Islam serta kebaikan dan keadilan dalam pemerintahan Islam.

Umat islam khususnya perlu mengetahui bahawa isu negara islam ini seringkali disalah tafsir. Negara Islam tidak boleh diukur dengan kuantiti penduduk di sebuah negara samada majoriti atau minoriti masyarakat Islam di sesebuah negara. Sejarah telah membuktikan bahawa orang-orang bukan Islam telah menerima kewujudan kerajaan Islam yang memerintah mereka. Buktinya dapat dilihat dengan penubuhan Kerajaan Islam Madinah yang diketuai oleh Rasulullah s.a.w merupakan kerajaan Islam yang pertama dengan didiami oleh masyarakat berbilang bangsa. kemudian Kerajaan Islam minoriti yang diketuai oleh Abu Musa Al-Asya’ari di Yaman, Kerajaan Islam minoriti Umaiyyah di Andalus dan Kerajaan Islam minoriti Mataram di Jawa, telah membuktikan bahawa “negara Islam” pernah wujud dalam negara di mana majoriti rakyatnya ialah bukan Islam dan yang memerintah negara berkenaan ialah orang Islam.

Negara Islam sebenarnya bukan dinilai berdasarkan banyaknya masjid-masjid atau sekolah-sekolah agama untuk umat islam atau banyaknya program-program agama yang dijalankan. Namun negara Islam perlu didasari oleh syahadah iaitu “Tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah”, di mana negara itu perlu berpaksikan kepada Al-Quran dan As-sunnah dalam segenap bidang samada dari segi corak pemerintahan, politik,pembinaan umat, fizikal, jasmani, hukuman dan sebagainya. Apabila sesebuah negara itu telah berjaya mengamalkan aspek diatas barulah wajar sesebuah negara itu digelar negara Islam.

Tanah melayu(Malaysia) sendiri sebenarnya suatu ketika dahulu pernah menjadi negara yang mengamalkan pemerintahan Islam. Melalui sejarah dapat dilihat perkembangan Islam di tanah Melayu yang begitu pesat bermula dengan Kerajaan Islam pertama di Semenanjung Tanah Melayu iaitu Kerajaan Islam Kelantan (pertengahan abad ke-12) yang mendapat gelaran Serambi Makkah. Seterusnya kerajaan Islam terkuat dan berpengaruh besar dalam menyebarkan Islam di Malaysia adalah Kerajaan Islam Melaka yang berdiri pada awal abad ke-15, dimana melalui kerajaan Melaka inilah Islam berkembang pesat di negeri-negeri taklukannya seperti Kedah, Pattani, Rokan, Kampar dan lain-lain.

Namun, dengan kemasukan penjajah di semenanjung Tanah Melayu sekitar tahun 1511 hingga ratusan tahun kemudiannya, semenanjung tanah melayu sudah hilang identiti negara Islamnya. Dengan pengenalan undang-undang sekular yang menggantikan undang-undang Islam diperkenalkan barat pada zaman penjajahan, maka umat Islam setelah merdeka seolah-olah sudah hilang identiti Islamnya, melalui program serangan pemikiran atau ghazwah al-fikr yang direncana barat dari segala aspek samada politik, pendidikan, dan ekonomi akhirnya umat Islam sendiri menjadi salah faham terhadap Islam dan ragu-ragu dengan ajaran islam itu sendiri. Hatta sehingga ke hari ini di Malaysia sendiri masih menggunakan undang-undang sekular yang diperkenalkan barat. Jika dilihat hanya negeri Kelantan yang masih bertahan dengan negeri yang mengamalkan Islam sepenuhnya.

Sebagai kesimpulannya, umat Islam khususnya perlu mengambil berat akan isu negara Islam ini. Konsep negara Islam perlu difahami dan diteliti. Betapa indahnya jika negara Malaysia yang tercinta ini dapat menjadi negara Islam seperti kota madinah yang dibina oleh junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w di mana tiadanya persengketaan, aman damai dan makmur. Persoalannya, bilakah negara ini akan menjadi negara Islam dengan erti kata yang sebenarnya. Jawapannya ialah menjadi tugas para da’ie dan umat Islam khususnya untuk memberi dan menjelaskan kefahaman sebenar tentang negara Islam kepada umat Islam dan bukan Islam yang masih kekurangan informasi tentang negara Islam sebenarnya. Wallahu a’lam.

Isu Pembinaan Keluarga Islam

Membina Keluarga Islamik

Pernikahan merupakan satu tuntutan didalam Islam terhadap umatnya. Nikah merupakan sunnah Rasulullah yang sangat sinonim dengan kita. Pernikahan juga merupakan ikatan yang sangat kuat yang dalam istilah al-Quran disebut sebagai“miytsaqon ghaliyzho” dalam surah an-nisa’ ayat 21 yang bermaksud “Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu Dengan Yang lain, dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian Yang kuat daripada kamu?”.

Oleh kerana itu pernikahan harus dilaksanakan dengan cara yang sesuai dengan ajaran Islam. Justeru itu pernikahan jangan sampai dinodai dengan perkara-perkara yang berupa maksiat. Sesudah pernikahan berlangsung, kehidupan berumah tangga pun harus dijalani dengan sebaik-baiknya meskipun cabaran dan godaan menjalani kehidupan rumah tangga yang Islamik begitu banyak. Untuk menjalani kehidupan rumah tangga yang Islamik, ada beberapa perkara yang harus mendapat perhatian suami dan isteri. Antaranya ialah yang pertama mengukuhkan rasa cinta antara satu sama lain. Perasaan cinta perlu dipupuk dan diperkukuhkan dari awal perkahwinan hinggalah ke akhirnya.

Berumah tangga diibaratkan seperti orang yang sedang belayar. Ketika pelayaran baru bermula, suasana di dalam kapal masih tenang kerana di samping penumpangnya benar-benar ingin menikmati pelayaran itu, juga kerana belum ada sebarang kesulitan, belum ada ombak dan angin kencang yang menerpa, tetapi ketika kapal itu telah sampai di lautan yang jauh, barulah terasa ombak besar dan angin yang sangat kencang menerpa.

Dalam suasana seperti itulah pengukuhan rasa cinta antara suami dengan isteri menjadi sesuatu yang sangat penting dalam menghadapi dan mengatasi terpaan badai kehidupan rumah tangga. Pernikahan dilangsungkan dengan pengertian agar lelaki dan wanita yang mengikat hubungan suami isteri mampu memperoleh ketenangan dan rasa cinta. Sebagaimana Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menjadikan untukmu isteri-isteri daripada kalanganmu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya yang demikian itu benar-benar menjadi tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (30: ayat 21).

Seterusnya yang kedua,saling hormat-menghormati, di mana di dalam pembinaan keluarga Islam, suami isteri sewajarnya sentiasa menghormati antara satu sama lain. Apabila suami isteri selaku pemimpin di dalam rumah tangga sentiasa saling hormat-menghormati dan saling bersikap baik ini akan menjadi contoh taulada yang terbaik kepada anak-anak. Di mana anak-anak akan mengikut dan mempelajari sikap yang dipamerkan oleh ibu bapa mereka untuk diaplikasikan dalam kehidupan mereka. Hal ini sudah tentulah akan membantu dalam pembinaan keluarga islamik. Sebagimana contoh yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w dalam kehidupan rumah tangganya, baginda telah meninggalkan contoh teladan kepada kita betapa baginda berlaku adil dan baik kepada keluarganya. Di mana dalam sebuah hadis, baginda telah bersabda, yang bermaksud: “Orang yang paling baik di antara kamu adalah yang paling baik dengan keluarganya dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku.” (Hadis riwayat Tabrani).

Selain itu, yang ketiga ialah mengamalkan sikap berkerjasama dalam keluarga. Sikap kerjasama antara suami dan isteri dalam mengurus rumah tangga juga perlu diamalkan. Sikap kerjasama khususnya dalam urusan pendidikan anak-anak adalah perkara yang sangat penting. Kerjasama yang baik dalam mendidik anak-anak antara lain dalam bentuk sama-sama meningkatkan kesalihan diri masing-masing sebagai orang tua kerana mendidik anak mesti dengan teladan yang baik, juga tidak ada pertentangan antara sikap bapa dengan ibu dalam mendidik anak dan sebagainya. Keharusan kita bekerjasama dalam perkara-perkara yang baik telah difirmankan Allah s.w.t dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebaikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan maksiat”.

Perkara keempat yang perlu diambil kira di dalam pembentukan keluarga islam ialah saling menutupi kekurangan di mana suami dan isteri tentu saja memiliki banyak kekurangan, bukan saja kekurangan dari segi fizikal, tetapi juga sifat-sifat yang ada pada diri mereka. oleh kerana itu suami isteri yang baik tentu saja akan menutupi kekurangan-kekurangan tersebut seperti tidak suka menceritakannya kepada orang lain, termasuk kepada orang tuanya sendiri. Walaupun begitu, dengan tujuan untuk berunding ke arah kebaikan, maka boleh menceritakan kekurangan sifat-sifat suami atau isteri kepada orang yang dipercayai.

Di samping itu, rumah juga harus berfungsi seperti madrasah atau sekolah yang anggota keluarganya harus memperoleh ilmu dan pembinaan perwatakan sehingga suami dan isteri diharapkan berperanan seperti guru bagi anak-anaknya dengan memberikan ilmu dan contoh teladan yang baik.

Apa yang juga penting dalam kehidupan sekarang dan masa mendatang ialah menjadikan keluarga sebagai benteng pertahanan yang memberikan kekuatan pertahanan akidah dan keperibadian dalam menghadapi segala godaan kehidupan yang semakin banyak menjerumuskan manusia ke lembah kehidupan yang berupa maksiat pada pandangan Allah s.w.t dan Rasul-Nya.

Kesimpulannya,membangun rumah tangga yang Islamik merupakan sesuatu yang sukar. Banyak rintangan, baik dari aspek dalaman mahupun dari aspek luaran yang harus dihadapi. Namun begitu, harus diingatkan bahawa rintangan yang besar dan banyak itu bukan bermakna tidak boleh atau tidak berupaya membangun rumah tangga yang Islamik. Setiap daripada kita mesti yakin akan kemungkinan keupayaan membentuk rumah tangga yang Islamik, dan kalau kita sudah yakin, maka kita dituntut membuktikan keyakinan itu dengan penuh kesungguhan.Ini adalah kerana melaksanakan ajaran Islam memang amat dituntut kesungguhan yang besar. Wallahu a’lam.

Isu Undang-Undang Islam

Assalamualaikum..

Insyaallah dalam ruang kali ini saya ingin membincangkan satu undang-undang Islam yang masih ramai umat Islam yang kurang memahami apa maksud sebenar isu undang-undang ini. Namun demikian saya masih mengharapkan segala teguran dan nasihat serta meminta para sahabat untuk memperbetulkan saya andai ada kesalahan dalam membincangkan isu ini kerana saya hanyalah insan lemah yang tidak pernah lepas dari kelalaian dan kealpaan.

Hukum Poligami dan hikmat disyariatkan

Masyarakat di Malaysia pada hari ini banyak memperkatakan dan mempersoalkan tentang poligami. Terdapat banyak tafsiran dan anggapan pelbagai pihak samada lelaki atau perempuan, badan NGO, hatta menteri-menteri yang membincangkan tentang masalah poligami ini sehinggakan pada satu tahap terdapat cadangan di negeri tertentu yang mengharamkan poligami. Oleh kerana itu, mari kita melihat dan meneliti kembali hukum poligami ini menurut syariat Islam.

Hukum asal poligami ini ialah harus dan dibolehkan, hal ini berdasarkan firman Allah s.w.t di dalam surah An-Nisa’ ayat 3 yang bermaksud Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin Dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat” .

Walaubagaimanapun, hukum poligami ini menjadi sunat, makruh atau haram kerana disebabkan beberapa keadaan individu yang ingin berpoligami. Ia akan menjadi sunat apabila seorang lelaki memerlukan isteri yang lain disebabkan keperluan seperti untuk mendapatkan zuriat sekiranya isterinya mandul atau cacat dan dia yakin dapat berlaku adil. Hukumnya sunat kerana ia mempunyai kebaikan serta maslahat syarak.

Seterusnya hukum poligami menjadi makruh apabila poligami itu berlaku bukan kerana keperluan tetapi untuk berseronok semata-mata dan suami tersebut berasa ragu-ragu samada dia boleh berlaku adil atau tidak. Hal ini disebabkan poligami itu dituntut sekiranya untuk memenuhi keperluan dan sekiranya suami tidak berlaku adil,ini akan mendatangkan kemudharatan kepada isteri-isterinya disebabkan tidak mampu untuk berlaku adil terhadap mereka. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud “ Tinggalkanlah perkara yang meragukan kamu kepada perkara yang tidak meragukan kamu”.

Seterusnya, jika seorang lelaki yang ingin berpoligami merasa syak atau yakin tidak mampu berlaku adil terhadap isteri-isterinya, samada kerana kemiskinan, kelemahannya, atau dia tidak yakin dirinya dapat mengawal kecenderungan dan sifat prejudisnya, maka hkum ketika itu ialah haram kerana ini akan memberi mudharat kepada orang lain. Seperti firman Allah s.w.t dalam surah an-nisaa’ ayat 3 yang bermaksud “kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan Yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman” .

Namun demikian, beberapa perkara yang dituntut kepada suami yang berpoligami dalam keadilan untuk isteri-isterinya iaitu keadilan nafkah, tempat tinggal, tempat tidur, pergaulan yang baik serta melaksanakan kewajipan sebagai suami terhadap isteri-isterinya. Sementara keadilan dari segi kasih sayang bukanlah yang mesti diperolehi oleh isteri-isterinya selagi ia tidak membawa kepada tindakan yang zalim kerana manusia tidak dapat menguasai hatinya yang menjadi punca perasaan kasih sayang seperti firman Allah s.w.t dalam surah an-nisaa’ ayat 129 bermaksud “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya)”. Hal ini perlu difahami dan diteliti oleh kita semua selaku umat Islam khasnya bagi lelaki yang ingin berpoligami supaya mereka berhati-hati dan bijak menguruskan masalah yang berkaitan kasih sayang ini.

Seterusnya, terdapat beberapa hikmah Islam mensyariatkan poligami ini antaranya ialah untuk menjaga kesucian mereka yang tidak cukup hanya dengan seorang isteri sahaja yang mana menghalangnya dari poligami dapat menjerumuskannya ke lembah maksiat. Seterusnya untuk mengelakkan kaum wanita dari diburu lelaki yang tidak bertanggunngjawab tanpa akad yang boleh menjamin masa depannya. Serta dapat memenuhi keperluan suami untuk mendapatkan zuriat bagi menyambung keturunannya.

Kesimpulannya, penyalahgunaan sesetengah individu yang jahil terhadap hak-hak poligami tidak menafikan hikmat Islam mensyariatkan poligami. Islam tidak mengharuskan poligami untuk menganiayai, melukakan atau memudharatkan isteri. Sebaliknya ia diharuskan untuk memenuhi keperluan,melindungi yang memerlukan dan mencegah dari berlaku maksiat. Dengan sebab-sebab yang sepatutnya Islam mengharuskan poligami dan tidak mewajibkannya. Wallahu a’lam.


Hormati Prinsip Dan Undang-Undang Islam

KUALA LUMPUR, 18 Jun - Semua pihak, khususnya golongan bukan Islam perlu menjadikan kes Lina Joy sebagai rujukan, yang jelas menyatakan bahawa setiap perkara berkaitan agama Islam perlu dirujuk di bawah undang-undang Islam. Sepertimana yang diputuskan Mahkamah Persekutuan dalam kes Lina Joy, akhir Jun lalu, yang menjelaskan mana-mana perkara berkaitan agama Islam dengan tidak melalui undang-undang Islam, ia nyata bertentangan dengan Perkara 11 Perlembagaan Malaysia.

Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Abdul Hamid, berkata mereka juga perlu menghormati prinsip dan undang-undang agama lain, khususnya Islam yang mempunyai tafsiran berbeza berkenaan kebebasan beragama apabila seseorang itu memeluk agama Islam.

"Prinsip dan undang-undang itu perlu difahami dan dihormati oleh semua pihak dan tidak menjadikannya isu hak asasi kerana Islam mempunyai prinsip berbeza mengenainya," jelas beliau kepada Harakahdaily, hari ini bagi mengulas hasrat sekumpulan NGO yang ingin mengadakan perhimpunan secara aman sebagai tanda prihatin mereka terhadap kes yang melanda Revathi dan wanita-wanita lain yang tidak diberikan hak dalam memilih agama kepercayaan mereka.

Kumpulan yang terdiri daripada Lembaga Konsultatif Buddha, Hindu, Kristian, Sikh dan Tao serta badan-badan yang memperjuangkan hak wanita seperti Persatuan Tindakan Wanita (AWAM), Sisters in Islam (SIS), Organisasi Bantuan Wanita (WAO), Pusat Perubahan Wanita Pulau Pinang (WCC) dan Kolektif Pembangunan Wanita (WDC) Mengulas lanjut isu Revathi itu, Azmi menegaskan bahawa apa saja yang berkaitan dengan agama Islam, sama ada pihak yang mahu keluar daripada Islam atau sebaliknya, perlu menggunakan undang-undang syariah dan tidak boleh dipersoalkan.

Sementara itu, akhbar alternatif online, Malaysia-today melaporkan Revathi kini ditempatkan di sebuah pusat pemulihan akhlak yang dikendalikan pihak penguatkuasa Agama Islam sejak Januari lalu kerana memohon untuk menukar status keagamaannya sebagai penganut agama Hindu bukannya Islam. Ibu kandung Revathi merupakan seorang mualaf yang memasuki agama Islam sebelum beliau dilahirkan.

Revathi mendakwa beliau dibesarkan oleh neneknya sebagai seorang Hindu. Beliau juga berkahwin dengan Suresh pada Mac 2004 dalam upacara berdasarkan kepercayaan Hindu berhasrat ingin berhimpun di Dataran Merdeka dengan cara menyalakan lilin. Dalam permohonannya kepada Jabatan Agama Melaka, Revathi telah dinasihati supaya merujuk kepada mahkamah bagi menukar status agamanya. Mahkamah Syariah berkeputusan bahawa Revathi dibawa ke pusat pemulihan di Ulu Yam, Selangor selama 100 hari. Keputusan tersebut dibuat berdasarkan kepada undang-undang jenayah syariah.

Azmi juga menegaskan biarpun perhimpunan itu merupakan salah satu saluran mereka dalam kebebasan berhimpun dan bersuara, ia tetap dibimbangi kerana ia dilihat seolah-olah bertujuan memberi tekanan kepada pihak berkuasa supaya tunduk dengan kehendak mereka. (sumber dari Harakah online)

Isu Ekonomi Islam

Berjimat, berhemah tingkat produktiviti

Isu kenaikan harga barang dan perkhidmatan pada masa kini menjadi satu isu yang menjadi persoalan besar kepada masyarakat khususnya umat Islam. Lazimnya ia berlaku apabila ada kenaikan harga barang tertentu yang menyebabkan kos barangan dn perkhidmatan lain turut naik. Mengikut teori ekonomi, harga terpaksa dinaikkan oleh peniaga apabila kos barangan atau perkhidmatan meningkat.

Sebagai pengguna, umat Islam terpaksa menerima hakikat tersebut biarpun terpaksa menanggung kerugian kerana terpaksa menyediakan belanja lebih berbanding biasa. Namun begitu,kita tidak sepatutnya menjadi mangsa sepenuhnya. Sebagai pengguna, kita perlu bijak dan mempunyai banyak pilihan untuk mengurangkan kesan tekanan ekonomi keluarga akibat kenaikan harga. Islam telah menyediakan garis penduan yang sesuai bagi umatya bagi menghadapi situasi seperti ini di mana panduan ini sesuai diamalkan sepanjang masa bertepatan dengan ajaran Islam yang relevan sepanjang masa.

Antara ajaran Islam ialah menganjurkan agar umatnya sentiasa berjimat cermat dalam semua urusan hidup. Pembaziran amat ditegah dalam Islam kerana akan menimbulkan kesan buruk kepada diri sendiri mahupun pihak lain. Sikap berjimat memperlihatkan unsur kebijaksanaan di dalam diri individu. Orang yang bijak dalam berbelanja mengikut keperluan dan bukannya mengikut hawa nafsu. Sebelum berbelanja kita seharusnya memikirkan dahulu apakah rasional perbelanjaan tersebut. Jumlah perbelanjaan melebihi jumlah pendapatan akan menyebabkan timbunan hutang yang tidak mampu dijelaskan. Ini biasanya berlaku apabila individu gagal mengawal nafsu ketika berbelanja.

Seterusnya aspek lain dalam perbelanjaan yang mesti diutamakan ialah berhemah yang bermaksud mengawal perbelanjaan dan penggunaan mengikut keperluan. Hal ini untuk mengelakkan daripada membelanjakan wang untuk perkara yang tidak berfaedah. Perbelanjaan tanpa kawalan menyebabkan sumber kewangan tidak dapat menampung keperluan semasa. Sekiranya mempunyai pendapatan lebih, umat Islam khususnya perlu mengamalkan sikap menabung, atau menggunakan wang lebihan untuk pelaburan atau membeli saham untuk kegunaan pada masa hadapan sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud “simpanlah sebahagian harta kamu untuk kebaikan masa depan kamu,kerana itujauh lebih baik bagimu”. (Hadis riwayat Bukhari)

Sikap berhemah dalam menguruskan keperluan hidup seharian penting diamalkan bagi memastikan kebahagiaan hidup berterusan. Sebagaimana Rasulullah s.a.w sentiasa berhemah dan melihat jauh kehadapan bagi memastikan keperluan keluarga tidak terjejas. Diriwayatkan bahawa baginda s.a.w pernah membeli kurma yang cukup-cukup untuk keperluan setahun keluargnya. Namun,ketika mana kurma itu diperlukan untuk disedekahkan kepada orang miskin dan saudara mara yang memerlukan, Rasulullah mengutamakan sedekah sebagai keperluan utama. Ini kerana memenuhi keperluan semasa adalah yang lebih utama. Jika ada rezeki yang lebih boleh disimpan untuk keperluan masa hadapan.

Seterusnya, bersederhana adalah langkah bijak yag dianjurkan Islam bagi kesejahteraan yang berterusan. Sebagai umat Islam, kita tidak perlu berbelanja lebih semata-mata untuk memaksimumkan kepuasan. Kepuasan sebenarnya bergantung kepada cara mana kita menghargai setiap apa yang dimiliki dan dirasai sebagaimana firman Allah yang bermaksud “Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) Yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut, dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu”.

Perbelanjaan itu secara dasarnya memang mendatangkan kebaikan, namun disebabkan terlalu banyak berbelanja menyebabkan sesuatu itu tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Justeru itu, buatlah anggaran sebenar penggunaan yang diperlukan untuk mengelak pembaziran. Jika penggunaan lebih diperlukan ia boleh ditanbah kemudian.

Untuk menampung peningkatan kos hidup akibat kenaikan harga barangan, maka kita perlu meningktkan pendapatan. Perkara ini dapat dilakukan dengan meningkatkan produktiviti yang Sekaligus meningkatkan pendapatan. Namun hal ini lebih mudah dilakukan oleh mereka yang dibayar upah atau mendapat untung berdasarkan produktiviti. Peningkatan pendapatan golongan ini dapat dilakukan dalam tempoh masa yang singkat berbanding golongan berpendapatan tetap seperti kakitangan kerajaan yang perlu berusah keras untuk mendapat kenaikan gaji.

Namun begitu, cepat atau lambat kita menikmati kenaikan pendapatan, yang penting bagi umat Islam kita perlu melakukannya atas dasar memenuhi tuntutan agama yang amat mementingkan soal meningkatkan produktiviti. Kerana Allah amat menyukai orang yang gigih dalam melakukan pekerjaan. Ini kerana sesiapa yang melakukan seperti apa yang dianjurkan dan menajuhi apa yang dilarang agama, pasti akan dapat menghadapi cabaran hidup dengan lebih tenang. Wallahu a’lam.

Thursday, October 16, 2008

Isu Politik Islam


Amanah Dalam memilih pemimpin

Pemimpin adalah orang yang melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah di kawasan yanh ditadbirnya. Tanggungjawab khalifah sebagaimana yang disebut oleh Imam Al-Mawardi ialah kewajipan melaksana,menegakkan agama serta mengurus, mentadbir dan memakmurkan dunia ini dengan cara yang tidak bercanggah dengan agama. Kepimpinan itu merupakan satu amanah, begitu juga dalam soal melantik pemimpin juga adalah satu tanggungjawab dan amanah yang wajib ditunaikan mengikut landasan syarak.

Ini kerana, sekiranya berlaku kesilapan dalam memilih pemimpin,ini bermaksud kita menyerahkan sesuatu urusan kepada mereka yang tidak layak menerimanya dan perbuatan ini jelas melanggar ajaran Islam sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud “sekiranya amanah itu disia-siakan maka tunggulah kehancuran”. Lalu para sahabat bertanya bagaimana dikatakan amanah itu disia-siakan?lalu baginda menjawab : “amanah itu disia-siakan apabila kamu menyerahkan sesuatu urusan kepada mereka yang tidak layak memikulnya,maka tunggulah akan kehancuran”.

Namun, apabila dilihat fenomena masyarakat Islam pada hari ini pemimpin yang dipilih ada sebahagiannya yang tidak memenuhi syarat yang diletakkan oleh Islam itu sendiri. Jika diteliti terdapat beberapa ciri pemimpin yang wajib dipenuhi untuk kita sebagai umat Islam dalam memilih pemimpin antaranya seperti berikut :

1) Pemimpin yang dipilih itu hendaklah mempunyai akidah dan keimanan kepada Allah s.w.t

2) Pemimpin yang dipilih itu juga hendaklah mempunyai keperibadian dan sahsiah yang baik. Ini kerana sekiranya pemimpin itu adalah orang yang buruk akhlaknya, maka amanah yang diberikan akan mudah dikhianati dengan amalan-amalan haram seperti rasuah,penipuan dan penyelewengan harta rakyat.

3) Pemimin yang dipilih itu juga mestilah seorang yang bijak meletakkan amanah pada tempatnya. Di mana antara amanah paling penting bagi seorang pemimpin ialah menegakkan syariat Allah s.w.t berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah.

Masyarakat Islam pada hari ini, dihidangkan dengan pelbagai senario dalam pemilihan pemimpin terutamanya pada musim pilihanraya. Umat Islam pada hari ini sewajarnya menyedari untuk memilih pemimpin bukanlah sesuatu yang mudah dan selaku umat Islam yang berpegang kepada Al-Quran dan As-sunnah kita seharusnya bijak memilih pemimpin yang bakal membawa generasi Islam kearah jalan yang diredhoi oleh Allah s.w.t. Wallahu a’lam.

Wednesday, October 15, 2008

Isu Penuntut Islam di IPT



Etika Pemakaian Penutut Islam di IPT di Tahap Kritikal

Dewasa ini, isu penuntut Islam di IPTA/S semakin rancak diperkatakan, daripada masalah gejala sosial seperti berzina, berkhalwat, “clubbing” hinggalah kepada isu etika pemakaian di universiti yang dikatakan tidak menepati kehendak tatacara atau etika sebagai seorang pelajar IPT.

Pemakaian pelajar IPT khususnya yang beragama Islam seperti mula kembali ke zaman primitif atau zaman nomad. Ini adalah kerana pakaian yang dipakai agak ketat dan menampakkan susuk tabuh yang sepatutnya tidak dizahirkan, pakaian yang jarang serta pakaian yang menarik perhatian, pakaian menjolok mata yang boleh dikategorikan sebagai tidak sopan terutamanya bagi wanita Islam.


Buku panduan pelajar yang diberikan kepada mereka hanya dijadikan khazanah untuk disimpan di muzium. Buku panduan ini antara lain telah menetapkan etika berpakaian yang betul kepada semua pelajar secara selaras sama ada bangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa. Perkara ini harus dipandang serius kerana kerakusan pelajar IPT mula membuak sehinggakan arahan dan perintah IPT seperti tidak bernilai dimata mereka.


Kita dapat lihat antara punca menyebabkan pelajar IPT tidak lagi berpakaian sopan adalah disebabkan beberapa faktor seperti terpengaruh dgn pakaian artis-astis tempatan dan juga luar negara. Artis ini dijadikan idola sesetengah pelajar IPT, lantaran daripada itu segala tingkahlaku artis akan cuba dijadikan contoh hatta etika pemakaian. Faktor seterusnya adalah tren atau fesyen pakaian yang mula beralih daripada zaman moden ke zaman nomad kembali. Pakaian yang dipakai pelajar IPT mula tidak menzahirkan ciri-ciri seorang pelajar Islam tetapi seakan-akan seperti wanita jalanan yang mencari pelanggan.


Seharusnya sebagai penuntut yang beragama Islam kita perlu mengkaji setiap fesyen dan tren yang diperkenalkan dari sudut agama Islam. Pihak-pihak bertanggungjawab haruslah memainkan peranan terutama pihak IPT. Penguatkuasan terhadap pelajar IPT yang melanggar etika ini perlulah dilaksanakan kuatkuasakan agar kredibiliti IPT terjamin dimata masyarakat. Jika etika pemakaian ini hanya dijadikan paparan dalam buku panduan atau dinding fakulti dan bangunan pentadbiran tanpa dilaksanakan, maka adalah wajar etika pemakaian tersebut dijadikan monumen sejarah untuk pameran dalam muzium dan bukan dalam IPT.

Etika pemakaian ini haruslah dititik beratkan lagi sewaktu pelajar mula-mula menjejakkan kaki ke IPT seperti sewaktu Minggu Mesra Mahasiswa di peringkat IPT. Dikalangan pelajar IPT sendiri perlulah wujud kesedaran dan tanggungjawab untuk melaksanakan etika pemakaian tersebut untuk meningkatkan nilai dan intergriti seorang yang bergelar pelajar Islam.

Melihat dari kaca mata Islam, dalam buku “ADAB DAN PERGAULAN ANTARA LELAKI DAN WANITA” karangan Hamidah Mat meletakkan garis panduan menutup aurat iaitu menutup aurat yang ditetapkan , pakaian yang longgar, pakaian yang tidak jarang dan bukan pakaian yang menarik perhatian. Jika seseorang wanita itu berpakaian ketat dan menampakkan bentuk tubuh maka pemakaian tersebut belum memenuhi kehendak syarak. Aisyah r.a telah meriwayatkan bahawa saudaranya, Asma’ pernah masuk ke rumah Rasulullah s.a.w dengan pakaian nipis sehingga nampak kulitnya. Rasulullah s.a.w berpaling dan bersabda :
Maksudnya:

“ wahai Asmak, sesungguhnya seorang wanita apabila baligh, dia tidak patut memperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini, sambil baginda menunjukkan muka dan kedua-dua tapak tangannya.” Hadis Riwayat Abu Daud.


Perkara ini bolehlah dijadikan kayu ukur untuk pelajar IPT yang beragama Islam agar larangan Syarak tidak dilanggar. Nilai wanita bukanlah hanya pada pakaian tetapi pada akhlak dan tingkahlaku, ini kerana etika pakaian juga boleh dikatogarikan dalam akhlak. Sabda Rasulullah s.a.w :

Maksudnya : “ sesungguhnya dunia itu semuanya kenikmatan bersifat sementara. Sebaik-baik kenikmatan dunia adalah wanita solehah.” Hadis Riwayat Ahmad dan juga Muslim, Abu Daud, Al-Tirmizi, Al-Nasaai.

Jelaslah disini bahawa nilai harga wanita bukanlah terletak pada pakaian tetapi pada akhlak yang telah dijelaskan. Kesimpulannya marilah kita bersama-sama memperbetulkan etika pemakaian kita agar ianya bertepatan dengan nilai Islam dan yang selaras dengan peraturan-peraturan IPT.

Tuesday, October 14, 2008

Isu Ilmu-Ilmu Islam

Aeroangkasa : Umat Islam ketinggalan jauh


Angkasa bukanlah satu bidang biasa khususnya bagi negara islam yang masih ketiggalan dalam pelbagai bidang ilmu. Selain memerlukan kepakaran tinggi ia juga menuntut komitmen bertaraf jihad dan perbelanjaan yang tinggi untuk menyediakan penyelidikan dan pembangunannya.

Dari sudut sejarahnya, kajian mengenai angkasa merupakan kegiatan yang berterusan dari satu tamadun ke tamadun berikutnya. Kegiatan astronomi yang dilakukan dalam setiap tamadun sesuai dengan keperluan pada zaman tersebut. Abad kelapan hingga ke-14 menyaksikan kebanyakan aktiviti keilmuan seperti perubatan dan astronomi berpusat di timur tengah, Afrika Utara, sepanyol yang dikuasai oleh umat islam.

Tokoh-tokoh islam seperti khalifah Abbasiyah Al-Ma’mum misalnya telah mengasaskan pembinaan Baitul hikmah bagi tujuan pengembangan ilmu pengetahuan. Berserta dengan Baitul Hikmah ini telah dibina sebuah balai cerap astronomi yang dinamakan Balai Cerap Shammasiah bagi kemudahan umat Islam pada ketika itu bagi menyelesaikan pelbagai masalah yang berkaitan dengan ilmu astronomi dan matematik seperti penentuan anak bulan Ramadhan dan syawal, haji, waktu solat, dan arah kiblat. Pada era keemasan ini juga memperlihatkan kewujudan balai cerap dari seluruh tanah Islam timur dan barat. Seterusnya Al-Batani merupakan antara cendikiawan Islam yang menghasilkan kitab Zij al-Sabi iaitu kitab yang mengandungi data cerapan astronomi.

Hal ini membuktikan bahawa ilmu astronomi telah lama wujud sebagai satu ilmu dalam Islam, namun demikian pada masa kini ilmu ini seolah-olah hilang dari umat islam, kegiatan astronomi hari ini seolah-olah terhad kepada mengira anak bulan atau membuat pengiraan untuk menentukan waktu solat dan tarikh berpuasa dan hari raya sahaja. Kini kajian tentang angkasa diterajui sepenuhnya oleh saintis barat. Persolannya mengapa umat islam kian jauh daripada ilmu astronomi ini sedangkan cendikiawan islam yang telah menemui ilmu ini ratusan tahun lebih awal dari masyarakat barat?.

Umat islam pada hari ini seolah-olah tidak mengetahui bahawa ilmu astronomi ini telah diperkenalkan oleh Islam, kita seolah-olah tidak tahu bahawa al-Batani dengan Zij al-Sabi telah mengkatalog hampir 500 bintang dan menhitung satu tahun syamsiah ialah 365 hari, 5 jam, 48 minit dan 24 saat. Antara faktor penyebab hilangnya nilai ilmu astronomi ini dari umat islam ialah kurangnya kesedaran umat Islam untuk memikir dan memahami keajaiban ciptaan Illahi, di dalam al-quran telah disebutkan mengenai perkara ini. (rujuk surah Ali Imran ayat 189-191) . Sikap pak turut kita sebagai umat Islam yang hanya mengikut segala teori yang dikemukakan saintis barat tanpa ada kecenderungan untuk mengaitkan dengan Al-Quran dan As-sunnah menjadi salah satu sebab ilmu ini hilang dari pengetahuan kita. Selain itu, kekurangan alat-alat cerap dan balai cerap yang terdapat di negara umat islam juga menjadi faktor ilmu ini kurang mendapat perhatian dari masyarakat Islam hari ini.

Oleh itu umat islam sewajarnya menyedari bahawa ilmu astronomi yang kini telah hilang dari umat Islam perlu dipelajari dan diberikan pendekatan yang kritikal supaya ianya tidak terus luput dari pengetahuan masyarakat Islam.

Sunday, October 12, 2008

ingat 5 perkara sebelum 5 perkara

Info sihat sepanjang hayat

Sayur-sayuran hijau baik untuk minda

Makan tiga bahagian sayur-sayuran hijau setiap hari untuk meningkatkan ingatan atau untuk mengelak dari mudah lupa. Kajian menunjukkan warga yang telah mencecah usia persaraan dan mengamalkan pemakanan sayur-sayuran hijau mempunyai kemampuan mental yang lebih tajam berbanding mereka yang berumur lima tahun lebih muda.

Kunci kepada keadaan ini adalah vitamin E yang terdapat di dalam sayur-sayuran hijau berbanding dengan buah-buahan yang berfaeadah untuk menajamkan minda seperti bayam, brokoli, terung hijau dan sebagainya.

Menurut kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat terhadap lebih kurang 4000 warga yang bersara, mereka yang mengambil tiga hidangan sayur-sayuran sehari mempunyai kadar penurunan daya ingatan 40 peratus lebih perlahan berbanding mereka yang kurang atau tidak memakan sayuran.

Kajian tersebut juga menunjukkan semakin meningkat usia seseorang, sayur-sayuran hijau sangat berfaedah dalam membantu meningkatkan ingatan dan menajamkan minda.

Batu refleksologi merawat penyakit


Tapak kaki manusia mempunyai titik-titik yang berkait dengan organ dalaman dan juga luaran badan manusia. Jika ditekan di salah satu sudut tapak kaki dan merasa sakit pada bahagian tersebut, ini menunjukkan bahawa badan seseorang itu mengalami masalah.

Oleh itu, batu kecil yang disusun secara teratur ia boleh menjadi satu medium perubatan yang dikenali dengan refleksologi. Batu refleksologi mampu merawat dan mengatasi masalah dalaman dan luaran badan manusia dengan cara memijak dan berjalan secara perlahan batu kerikil dan batu sungai

Thursday, October 9, 2008

Istimewanya wanita


" Wanita yang memerah susu binatang dengan "Bismillah" akan didoakan oleh binatang itu dengan doa keberkatan."

" Wanita yang menguli tepung gandum dengan "Bismillah" Allah akan berkatkan rezekinya."

" Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir akan mendapat pahala seperti menyapu lantai di Baitullah"

" Wahai Fatimah, untuk setiap wanita yang mengeluarkan peluh ketika membuat roti, Allah akan membinakan 7 parit di antara dirinya dengan api neraka, jarak di antara parit itu ialah sejauh langit dan bumi,"

" Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang memintal benang, Allah akan mencatatkan untuknya perbuatan baik sebanyak utas benang yang dibuat dan memadamkan seratus perbuatan jahat."

" Wahai Fatimah, untuk setiap wanita yang menganyam akan benang yang dibuatnya, Allah telah menentukan satu tempat khas untuknya di atas takhta di Hari Akhirat."

" Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang memintal benang dan dibuatnya pakaian untuk anak-anaknya maka Allah akan mencatatkan baginya ganjaran sama seperti orang yang memberi makan kepada 1000 orang lapar dan memberi pakaian kepada 1000 orang yang tidak berpakaian."

" Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang meminyakkan rambut anaknya, menyikatnya, mencuci pakaian mereka dan mencuci akan diri anaknya itu, Allah akan mencatatkan untuknya pekerjaan baik sebanyak helai rambut mereka dan memadamkan sebanyak itu pula pekerjaan jahat dan menjadikan dirinya kelihatan berseri di mata orang-orang yang memerhatikannya."

" Sabda Nabi S.A.W:

"Ya Fatimah, barang mana wanita meminyakkan rambut dan janggut suaminya, memotong misai dan mengerat kukunya, Allah akan memberi minum akan dia dari sungai-sungai serta diringankan Allah baginya Sakaratul Maut dan akan didapatinya kuburnya menjadi sebuah taman daripada taman-taman Syurga dan dicatatkan Allah baginya kelepasan dari api neraka dan selamatlah ia melintas Titian Shirat."