Tuesday, October 14, 2008

Isu Ilmu-Ilmu Islam

Aeroangkasa : Umat Islam ketinggalan jauh


Angkasa bukanlah satu bidang biasa khususnya bagi negara islam yang masih ketiggalan dalam pelbagai bidang ilmu. Selain memerlukan kepakaran tinggi ia juga menuntut komitmen bertaraf jihad dan perbelanjaan yang tinggi untuk menyediakan penyelidikan dan pembangunannya.

Dari sudut sejarahnya, kajian mengenai angkasa merupakan kegiatan yang berterusan dari satu tamadun ke tamadun berikutnya. Kegiatan astronomi yang dilakukan dalam setiap tamadun sesuai dengan keperluan pada zaman tersebut. Abad kelapan hingga ke-14 menyaksikan kebanyakan aktiviti keilmuan seperti perubatan dan astronomi berpusat di timur tengah, Afrika Utara, sepanyol yang dikuasai oleh umat islam.

Tokoh-tokoh islam seperti khalifah Abbasiyah Al-Ma’mum misalnya telah mengasaskan pembinaan Baitul hikmah bagi tujuan pengembangan ilmu pengetahuan. Berserta dengan Baitul Hikmah ini telah dibina sebuah balai cerap astronomi yang dinamakan Balai Cerap Shammasiah bagi kemudahan umat Islam pada ketika itu bagi menyelesaikan pelbagai masalah yang berkaitan dengan ilmu astronomi dan matematik seperti penentuan anak bulan Ramadhan dan syawal, haji, waktu solat, dan arah kiblat. Pada era keemasan ini juga memperlihatkan kewujudan balai cerap dari seluruh tanah Islam timur dan barat. Seterusnya Al-Batani merupakan antara cendikiawan Islam yang menghasilkan kitab Zij al-Sabi iaitu kitab yang mengandungi data cerapan astronomi.

Hal ini membuktikan bahawa ilmu astronomi telah lama wujud sebagai satu ilmu dalam Islam, namun demikian pada masa kini ilmu ini seolah-olah hilang dari umat islam, kegiatan astronomi hari ini seolah-olah terhad kepada mengira anak bulan atau membuat pengiraan untuk menentukan waktu solat dan tarikh berpuasa dan hari raya sahaja. Kini kajian tentang angkasa diterajui sepenuhnya oleh saintis barat. Persolannya mengapa umat islam kian jauh daripada ilmu astronomi ini sedangkan cendikiawan islam yang telah menemui ilmu ini ratusan tahun lebih awal dari masyarakat barat?.

Umat islam pada hari ini seolah-olah tidak mengetahui bahawa ilmu astronomi ini telah diperkenalkan oleh Islam, kita seolah-olah tidak tahu bahawa al-Batani dengan Zij al-Sabi telah mengkatalog hampir 500 bintang dan menhitung satu tahun syamsiah ialah 365 hari, 5 jam, 48 minit dan 24 saat. Antara faktor penyebab hilangnya nilai ilmu astronomi ini dari umat islam ialah kurangnya kesedaran umat Islam untuk memikir dan memahami keajaiban ciptaan Illahi, di dalam al-quran telah disebutkan mengenai perkara ini. (rujuk surah Ali Imran ayat 189-191) . Sikap pak turut kita sebagai umat Islam yang hanya mengikut segala teori yang dikemukakan saintis barat tanpa ada kecenderungan untuk mengaitkan dengan Al-Quran dan As-sunnah menjadi salah satu sebab ilmu ini hilang dari pengetahuan kita. Selain itu, kekurangan alat-alat cerap dan balai cerap yang terdapat di negara umat islam juga menjadi faktor ilmu ini kurang mendapat perhatian dari masyarakat Islam hari ini.

Oleh itu umat islam sewajarnya menyedari bahawa ilmu astronomi yang kini telah hilang dari umat Islam perlu dipelajari dan diberikan pendekatan yang kritikal supaya ianya tidak terus luput dari pengetahuan masyarakat Islam.

0 comments: