Monday, April 27, 2009

selamat berjuang sahabatku..

seperti biasa, setiap kali hujung sem, perkara yg paling semua tunggu ialah final exam.. di sinilah kita diuji setelah kita menimba ilmu satu semester di UKM. Pastinya saat ini sahabat-sahabat sedang bergelut dengan buku-buku bagi persediaan terakhir sebelum exam. Disini saya ingin kongsikan beberapa tip yang menjadi amalan diri yang kerdil ini sebelum, semasa dan selepas menghadapi exam..
1) selalu membaca al-Quran(sy suka amalkan surah Yasin + dgn surah2 lain)
2) amalkan selalu bangun sepetiga malam(sekiranya diizinkan Allah unt bangun, kdg2 t'lepas jg)
3) Yang paling penting, kita kena selalu ingat bahawa redha Allah, Ibu bapa itu penting... klu ada wat salah silap apa kata kita mohon ampun dan mohon maaf)
4) redha pensyarah juga penting, apa2 hal kt minta maaaf dulu pd mereka..oppss satu lagi hati kawan2 kena kita jaga..almaklumlah kadang2 kt x sedar yg kita banyak wat salah pada diorang, oleh itu di kesempatan ini saya mohon maaf atas segala salah silap saya selama kita berkawan
5) Tapi yg paling penting kita kena usaha+tawakkal atas segala usaha kita.. Insyaallah orang yang berusaha kemudian menyerahkan segalanya kepada Allah..akan berjaya dgn izinnya.

ni satu pesanan dari Imam As-Syafie :
"berpenat lelahlah krn sesungguhnya kesenangan itu selepas kepayahan. Jangan berdukacita krn hidup ini meletihkan, sbb demikianlah hidup ini diciptakan".

so mari kita sama2 ingat pesanan imam kt ini...
segala yang saya catatkan ini sekadar berkongsi pengalaman.. tdk ada lgsung unsur2 lain semasa sy menulis catatan ini. moga ia memberi sedikit manfaat kepada kita semua.

Thursday, February 12, 2009

salam peringatan

Kebelakangan ini umat islam dikejutkan dengan isu Gaza, Palestin. Umat Islam seharusnya mengambil berat akan isu Palestin ini. kita seharusnya bersama-sama dengan umat Islam di Palestin dalam hal mengenai agama. Sewajarnya kita sama-sama membantu untuk menolong saudara kita di Palestin, walaupun hakikatnya kita tidak dapat membantu mereka dari segi tenaga namun kita harus ingat sumbangan kita melalui dan kewangan amat membantu mereka. marilah kita sama-sama membantu mereka.. Save Gaza for Islam.....

Thursday, October 23, 2008

KOnSep BLoG SaYa


Assalamualaikum

Warahmatullahi

Wabarakatuh.....

بسم الله الرحمن الرحيم

Bersyukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurniaannya, saya dapat juga menyiapkan blog ini. Blog ini merupakan hasil kerja saya sendiri dimana blog ini pada asalnya adalah bagi memenuhi keperluan khusus Teknologi Maklumat Dakwah. Namun begitu, setelah meneroka dan mengetahui tentang blog saya merasakan bahawa blog merupakan medium yang sangat berguna khususnya kepada para daie di zaman ledakan maklumat ini. Dengan berkonsepkan dakwah semasa, saya meletakkan beberapa isu sebagai tumpuan utama saya di dalam penulisan blog ini. Antara isu yang dikemukan ialah Isu Pembinaan Keluarga Islam, Isu Pendidikan, Isu Akidah dan lain-lain yang boleh dilihat di blog saya.

Isu-isu ini dikupas di dalam blog ini kerana meruncingnya keadaan umat Islam pada masa kini samada dari aspek politik, ekonomi, pendidikan, penghayatan agama dan akidah. Jika kita mengikuti perkembangan semasa generasi kini mempunyai banyak cabaran, dengan ledakan informasi maklumat yang boleh dicapai hanya sekelip mata sahaja, umat Islam boleh mengikuti segala fenomena dunia tidak sampai satu saat. Hal ini sebenarnya merupakan satu keuntungan, sekiranya digunakan di tempat yang betul, namun jika ia disalahgunakan maka inilah yang akan membawa kemudharatan kepada umat Islam. Justeru itu, isu-isu yang diketengahkan di dalam blog ini memberikan sedikit gambaran tentang fenomena generasi Islam kini yang mana jika kita tidak mengambil berat dan mencari alternatif penyelesaiannya, saya yakin dan pasti umat Islam pada generasi akan datang akan menghadapi masalah ummah yang serius.

Oleh itu, sahabat-sahabat boleh membaca isu selanjutnya dengan melayari blog ini. Terima kasih tidak terhingga kepada Prof Madya Dr. Zulkiple bin Abd. Ghani kerana telah mendedahkan kepada kami tentang kepentingan blog sebagai salah satu medium dakwah alam maya. Saya juga berharap agar rakan-rakan dapat memberikan komen, teguran serta membetulkan sekiranya terdapat mana-mana kesalahan semasa dalam proses perbincangan isu-isu di blog ini. Sekian, terima kasih. Wassalam.

ISu PEngHayAtan ISlaM

Penghayatan al-Quran ke arah membasmi gejala sosial

PERMASALAHAN sosial yang melanda remaja hari ini adalah merupakan satu isu yang telah banyak diperkatakan, di mana pelbagai pendekatan telah diambil untuk menangani masalah ini dari terus merebak di kalangan remaja kita.Satu hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah remaja hari ini adalah merupakan bakal pemimpin di masa depan, dan oleh yang demikian, masalah sosial di kalangan mereka sudah seharusnya diberi keutamaan untuk diselesaikan.Walaupun pelbagai pendekatan dikatakan mampu menangani masalah ini, namun tidak dapat kita nafikan bahawa satu pendekatan yang paling baik dan berkesan adalah menerusi pendekatan agama.

Hakikat bahawa pegangan agama yang utuh mampu mengelakkan anak-anak kita dari terjebak dalam kancah gejala sosial sememangnya diakui ramai, termasuklah di kalangan golongan pendidik.Salah satu cara yang dilihat mampu menanamkan pegangan agama yang kental di sanubari anak-anak adalah menerusi al-Quran. Ini bukan setakat membaca semata-mata tetapi lebih kepada pemahaman dan penhayatan segala apa yang terkandung dalam kitab suci tersebut.Mungkinkah segala permasalahan sosial yang kita saksikan hari ini adalah berpunca dari hakikat bahawa semakin ramai anak-anak kita yang sudah tidak mendekati al-Quran? Mungkinkah segala permasalahan ini berpunca dari penghayatan al-Quran yang semakin longgar?Yang pastinya, penyelesaian yang dicari tidak mungkin akan dapat ditemui sekiranya kita hanya setakat mencari sebab-musababnya tanpa melakukan sesuatu yang proaktif bagi mengatasi masalah tersebut.

Pendidikan agama serta penghayatan al-Quran yang kurang mantap adalah salah satu faktor penyebab dalam keruntuhan akhlak remaja hari ini.'Kitab suci al-Quran merupakan satu panduan serta pedoman untuk setiap umat manusia sehingga akhir zaman di mana penghayatan al-Quran yang kukuh akan memastikan kejayaan seseorang, bukan saja di dunia bahkan juga di akhirat sebagaimana Firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 9 yang bermaksud :"Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam) dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.

Kesimpulannya, penghayatan al-Quran akan dapat membina kualiti pembangunan modal insan selain dapat menyumbang kepada pembentukan ummah yang lebih cemerlang. Dan dalam konteks para remaja pula, ia akan menjadi ibarat benteng kukuh yang akan melindungi mereka dari godaan hawa nafsu yang sekiranya tidak dikekang akan menyebabkan mereka terlontar ke lembah kehinaan.

Wednesday, October 22, 2008

Isu Akidah Islam

Beriman perkara ghaib : Uji Keimanan

Beriman kepada perkara yang ghaib merupakan satu antara ciri-ciri orang yang bertaqwa kepada Allah S.W.T. Hal ini sebagaiman firman Allah s.w.t di dalam surah al-Baqarah ayat 3 yang bermaksud “Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki Yang Kami berikan kepada mereka.

Menurut bahasa, istilah ghaib berasal dari perkataan ghaaba, yaghibu atau ghaiban yang bermaksud sesuatu yang tidak dapat dillihat atau dirasai oleh pancaindera manusia yang lima kerana manusia tidak mampu mencapainya. Dari segi istilah perkara ghaib merujuk kepada perkara yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera tetapi diakui dan diyakini dengan jalan pemerhatian dan pemikiran berdasarkan dalil-dalil al-Quran dan as-Sunnah yang boleh diterima sesuai dengan fitrah manusia.

Secara umumnya, umat manusia yang mendiami alam semesta ini terbahagi kepada dua kategori. Kategori pertama ialah golongan manusia yang percaya hanya kepada benda yang nyata, yang boleh dilihat,dipegang, dan dirasai. Mereka tidak percaya adanya kehidupan lain di sebalik bumi yang nyata ini, di mana mereka tidak mempercayai adanya Tuhan, malaikat dan benda-benda ghaib. Kategori kedua pula ialah golongan yang percaya di sebalik bumi yang nyata ini, ada satu alam ghaib yang tersembunyi dari pengetahuan manusia yang berada di bawah kekuasaan Allah s.w.t.

Setiap orang Islam yang mukallaf wajib percaya atau beriman kepada perkara-perkara ghaib kerana Allah s.w.t, Tuhan yang kita sembah merupakan zat yang maha ghaib. Di mana Allah s.w.t tidak dapat dicapai dengan pancaindera yang lima. Sebaliknya ia dapat dirasai oleh jiwa yang beriman dan bertaqwa. Inilah merupakan ujian dn cabaran manusia, dimana sekiranya manusia tidak mempercayai perkara ghaib akan menjadikannya terpesong dari Agama Allah S.W.T.

Selain itu, Allah s.w.t telah menciptakan pelbagai perkara ghaib yang lain seperti malaikat yang dijadikan daripada nur yang memiliki watak yang sentiasa taat kepada Allah. Makhluk syaitan yang dicipta oleh Allah dari api, yang tugasnya adalah menyesatkan manusia. Manakala kita juga perlu percaya kepada kewujudan jin yang Allah s.w.t ciptakan juga dari api tetapi memiliki karekter yang hampir sama dengan manusia dimana jin juga tidak terlepas dari syaitan yang menyesatkan. Dimana ketiga-tiga makhluk ciptaan tuhan ini adalah makhluk yang thidup di alam ghaib dan tidak dapat dijangkaui oleh manusia yang bersifat lemah ini.

Oleh sebab itu, menjadi kewajipan kepada muslim yang beriman ialah mempercayai kewujudan makhluk ghaib ini sebagai satu bentuk ujian dalam kehidupan manusia di dunia ini. Samada manusia akan menjadikan makhluk Allah s.w.t iaitu syaitan dan jin sebagai pembantunya selain Allah s.w.t ataupun hanya Allah sahaja yang menjadi satu-satunya tempat berlindung dan bergantung harapan manusia dalam kehidupan ini.

Kesimpulannya, beriman kepada perkara ghaib ini adalah saru perkara yang wajib dipercayai dan diimani oleh seorang yang bergelar Islam. Di mana perkara ini merupakan dugaan dan cabaran kepada kita umat Islam kerana hal ini tidak dapat dicapai dengan pancaindera yang lima. Hanya dengan iman dan taqwa sahajalah manusia akan dapat merasai dan menikmati apa yang dikatakan beriman dengan perkara ghaib. Wallahu a’lam.

Isu Pendidikan Anak-Anak



Anak-Anak Harta Paling Berharga

Anak-anak merupakan anugerah yang tidak ternilai yang dikirimkan oleh Allah kepada ibu bapa sebagai rahmat dan ujian buat mereka. Anak-anak jika dididik dengan didikan yang sempurna berlandaskan syariat akan menjadi rahmat bagi ibu manakala sebaliknya akan menjadi ujian buat keduanya. Hari ini, jika diteliti golongan anak-anak terutama pada peringkat remaja semakin ramai yang terjebak dalam gejala yang kurang sihat. Persoalannya siapakah yang bersalah?. Dalam konteks dunia serba maju ibu bapa tidak boleh menyalahkan anak,atau guru sepenuhnya. Malahan mereka perlu muhasabah kemungkinan adanya lompong-lompong kosong yang tidak diisi dalam diri anak-anak.

Justeru itu, mari kita melihat beberapa aspek yang penting dalam mendidik anak-anak khasnya remaja Islam yang keadaan sosialnya semakin meruncing. Aspek pertama dari segi masa berkualiti yang diperuntukkan untuk bersama anak-anak. Ibu bapa seharusnya menggunakan masa yang berkualiti untuk mendampingi anak-anak dan berbicara serta serta berbincang bersama-sama mereka tentang diri mereka. Anak-anak akan berasa gembira dan dihargai apabila ibu bapa mereka memberikan perhatian kepada mereka. Ini akan mengurangkan mereka dari mencari hiburan luar yang tidak sihat sekiranya mereka menghadapi masalah.

Aspek kedua pula ialah, membantu anak-anak mengetahui matlamat penciptaan dirinya oleh Allah s.w.t. Ibu bapa perlu sentiasa membantu anak-anak memahami apakah matlamt penciptaannya, ke mana arah tujunya dan siapakah dirinya yang sebenar. Ibu bapa juga berperanan membantu anak-anak melihat dan mengeluarkan potensi diri mereka sebagai khalifah yang dijadikan Allah s.w.t untuk memakmurkan dunia ini. Sekiranya anak-anak memahami kosep ini, maka tidak akan berlaku lagi masalah sosial dan keruntuhan akhlak di kalangan generasi umat Islam pada hari ini.

Aspek ketiga dalam mendidik anak-anak, ialah ibu bapa perlu menjadi uswatun hasnah iaitu contoh tauladan yang terbaik bagi anak-anak. Kerana anak-anak yang cemerlang lahirnya daripada ibu bapa yang cemerlang dari segala aspek kehidupan. Ibu bapa perlu ingat bahawa didikan anak-anak adalah melalui tauladan dan bukannya paksaan. Jika ibu bapa inginkan anak-anak sempurna maka mereka terlebih dahulu perlu sempurna. Misalnya inginkan anak berkelakuan baik tidak mencukupi seandaikan ibu bapa tidak berkelakuan seperti yang diinginkan. Ibu bapa harus sedar 80 % pembelajaran adalah melalui visual bukan melalui pendengaran. Kerana itulah role model yang terbaik adalah melalui contoh tauladan. Anak-anak sudah pasti menjadikan ibu bapa sebagai salah satu model mereka kerana bagi mereka ibu bapa adalah yang paling hebat.

Akhirnya, aspek yang paling penting ialah membekalkan anak-anak dengan bekalan akhirat yang secukupnya. Sememangnya tidak dinafikan ramai ibu bapa mengatakan mereka telah memberikan didikan agama yang paling baik kepada anak-anak. Namun yang hairannya mengapa mereka masih terlibat dalam gejala yang tidak sihat. Sebenarnya ini adalah kerana kurangnya penghayatan agama dalam diri anak-anak. Walaupun penghayatan merupakan perkara subjektif untuk diukur, ibu bapalah yang mampu untuk membantu anak-anak untuk memahami tentang agama dengan membantu mereka melihat apakah matlamat hidup mereka sebenarnya. Pengamalan amalan berunsur keislaman di dalam rumah tangga turut membantu anak-anak dalam membekalkan jiwa mereka untuk berada di atas jalan yang benar.

Kesimpulannya, didikan anak-anak bermula dari rumah. Keperibadiaan anak-anak akan melambangkan ibu bapa mereka. Jadi bukan mudah untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang bergelar khalifah di muka bumi Allah ini. Hanya dengan kesabaran serta kesungguhan yang tinggi dari ibu bapa serta mengharapkan pertolongan dan kerhedaan Illahi sahaja yang mampu untuk menjadikan anak-anak sebagai khair ummah yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Wallahu a’lam.

Monday, October 20, 2008

Isu Negara Islam

Sumber perlembagaan Islam

Menurut Sayyid Abul A’la Al-Maududi, sumber perlembagaan islam terdapat empat jenis iaitu :

1) Al-Quran al-Karim

- Al-quran merupakan sumber rujukan pertama dan asas dalam sumber perlembagaan Islam. Ini kerana didalamnya terkandung semua perintah Allah s.w.t yang meliputi keseluruhan aspek kehidupan dan kewujudan manusia. Di dalamnya bukan sahaja terdapat perintah-perintah yang berkaitan tingkah laku individu, malahan segala aspek-aspek yang mengatur segala kehidupan social manusia. Di dalamnya juga telah ditunjukkan dengan jelas mengapa orang Islam mesti berusaha mnegakkan dan membina Negara mereka sendiri.

2) As-Sunnah

- As-Sunnah merupakan sumber rujukan Islam yang kedua di mana ia juga turut menjadi sumber rujukan kedua kepada perlembagaan Islam. As-Sunnah merintis jalan bagaimana Rasulullah s.a.w menterjemahkan fikrah islamiyyah ke dalam bentuk amali mengikut sorotan manhaj al-quran yang membentuknya menjadi sebuah pemerintahan social yang positif dan akhirnya membentuk sebuah Negara Islam yang cukup besar

3) Khalifah Al-Rasyidin

- Khalifah al-Rasyidin merupakan sumber ketiga bagi sumber perlembagaan Islam. Di mana, kita perlu merujuk dan melihat bagaimana khalifah-khalifah membuat keputusan dan mentadbir daulah Islamiyyah selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. sebagai contohnya isu penafsiran al-Quran dan As-sunnah yang mendapat persetujuan daripada ijma’ sahabat adalah contoh terbaik yang menunjukkan bahawa keputusan-keputusan berkenaan kenegaraan perlu mendapat persetujuan daripada mereka yang ahli dalam bidang ini dan mempunyai authoriti dalam membuat keputusan.

4) Fatwa Mujahid Mu’tabar

- Fatwa ini menjadi sumber rujukan yang keempat bagi sumber perlembagaan Islam di mana ia merupakan keputusan-keputusan yang dibuat oleh para fuqaha’ yang mu’tabar mengenai pelbagai masalah berkaitan dengan sumber perundangan islam yang muncul pada zamannya. Namun ia mungkin tidak muktamad, namun ia tidak boleh dinafikan bahawa ia mengandungi petunjuk dalam pembuatan perlembagaan yang berasaskn islam.

Kesimpulannya, sumber perlembagaan Islam menurut al-Maududi ialah berdasarkan kepada empat jenis ini. Sebagai umat Islam khususnya pemimpin Islam perlu mengambil berat akan hal ini dalam proses pindaan atau pembuatan perlembagaan Islam. Wallahu a’lam.



Negara Islam:Satu Tinjauan di Malaysia

Dewasa ini isu negara islam menjadi antara isu yang hangat diperkatakan oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia. Isu ini menimbulkan kontroversi bukan sahaja di kalangan Muslim tetapi juga bukan Muslim. Bagi seorang muslim yang memahami serta mendapat gambaran sebenar tasawwur “negara Islam” di zaman Nabi Muhammad s.a.w dan zaman-zaman khalifah selepas baginda, ianya tidak menimbulkan sebarang keraguan. Malah, “negara Islam” yang dimaksudkan itu sentiasa menjadi impian bagi seseorang Muslim yang mempunyai persepsi yang jelas mengenai rupa bentuk negara Islam.

Manakala bagi orang yang tidak mendapat gambaran yang jelas dan tidak memahami konsep serta tasawwur “negara Islam” yang dimaksudkan, samada mereka itu orang Islam atau bukan Islam, maka sudah pasti mereka akan ragu-ragu dan menolaknya. Apatah lagi apabila ada pihak yang tidak suka kepada Islam atau “negara Islam” itu menjalankan propaganda negatif dan memberikan gambaran yang salah kepada orang ramai khususnya kepada orang bukan Islam.

Justeru tidak hairanlah jika ada orang yang menolak cadangan “negara Islam” yang ingin diketengahkan oleh beberapa golongan samada badan bukan kerajaan atau parti politik atau individu. Apabila ini berlaku, maka sukar bagi umat Islam untuk menyalahkan orang bukan Islam yang menolak “negara Islam” kerana mereka sememangnya tidak memahami kondep sebenar negara Islam. Apabila seseorang itu tidak mempunyai maklumat yang betul atau benar, sudah tentu ia akan ragu-ragu dan kadangkala akan memusuhi pihak yang satu lagi. Ini bermakna umat Islam khususnya mesti menyahut cabaran bagi memberikan penjelasan demi penjelasan mengenai apa yang dimaksudkan dengan “negara Islam.” Ringkasnya usaha dakwah dalam menyampaikan maksud sebenar konsep dan tasawwur negara Islam serta kebaikan dan keadilan dalam pemerintahan Islam.

Umat islam khususnya perlu mengetahui bahawa isu negara islam ini seringkali disalah tafsir. Negara Islam tidak boleh diukur dengan kuantiti penduduk di sebuah negara samada majoriti atau minoriti masyarakat Islam di sesebuah negara. Sejarah telah membuktikan bahawa orang-orang bukan Islam telah menerima kewujudan kerajaan Islam yang memerintah mereka. Buktinya dapat dilihat dengan penubuhan Kerajaan Islam Madinah yang diketuai oleh Rasulullah s.a.w merupakan kerajaan Islam yang pertama dengan didiami oleh masyarakat berbilang bangsa. kemudian Kerajaan Islam minoriti yang diketuai oleh Abu Musa Al-Asya’ari di Yaman, Kerajaan Islam minoriti Umaiyyah di Andalus dan Kerajaan Islam minoriti Mataram di Jawa, telah membuktikan bahawa “negara Islam” pernah wujud dalam negara di mana majoriti rakyatnya ialah bukan Islam dan yang memerintah negara berkenaan ialah orang Islam.

Negara Islam sebenarnya bukan dinilai berdasarkan banyaknya masjid-masjid atau sekolah-sekolah agama untuk umat islam atau banyaknya program-program agama yang dijalankan. Namun negara Islam perlu didasari oleh syahadah iaitu “Tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah”, di mana negara itu perlu berpaksikan kepada Al-Quran dan As-sunnah dalam segenap bidang samada dari segi corak pemerintahan, politik,pembinaan umat, fizikal, jasmani, hukuman dan sebagainya. Apabila sesebuah negara itu telah berjaya mengamalkan aspek diatas barulah wajar sesebuah negara itu digelar negara Islam.

Tanah melayu(Malaysia) sendiri sebenarnya suatu ketika dahulu pernah menjadi negara yang mengamalkan pemerintahan Islam. Melalui sejarah dapat dilihat perkembangan Islam di tanah Melayu yang begitu pesat bermula dengan Kerajaan Islam pertama di Semenanjung Tanah Melayu iaitu Kerajaan Islam Kelantan (pertengahan abad ke-12) yang mendapat gelaran Serambi Makkah. Seterusnya kerajaan Islam terkuat dan berpengaruh besar dalam menyebarkan Islam di Malaysia adalah Kerajaan Islam Melaka yang berdiri pada awal abad ke-15, dimana melalui kerajaan Melaka inilah Islam berkembang pesat di negeri-negeri taklukannya seperti Kedah, Pattani, Rokan, Kampar dan lain-lain.

Namun, dengan kemasukan penjajah di semenanjung Tanah Melayu sekitar tahun 1511 hingga ratusan tahun kemudiannya, semenanjung tanah melayu sudah hilang identiti negara Islamnya. Dengan pengenalan undang-undang sekular yang menggantikan undang-undang Islam diperkenalkan barat pada zaman penjajahan, maka umat Islam setelah merdeka seolah-olah sudah hilang identiti Islamnya, melalui program serangan pemikiran atau ghazwah al-fikr yang direncana barat dari segala aspek samada politik, pendidikan, dan ekonomi akhirnya umat Islam sendiri menjadi salah faham terhadap Islam dan ragu-ragu dengan ajaran islam itu sendiri. Hatta sehingga ke hari ini di Malaysia sendiri masih menggunakan undang-undang sekular yang diperkenalkan barat. Jika dilihat hanya negeri Kelantan yang masih bertahan dengan negeri yang mengamalkan Islam sepenuhnya.

Sebagai kesimpulannya, umat Islam khususnya perlu mengambil berat akan isu negara Islam ini. Konsep negara Islam perlu difahami dan diteliti. Betapa indahnya jika negara Malaysia yang tercinta ini dapat menjadi negara Islam seperti kota madinah yang dibina oleh junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w di mana tiadanya persengketaan, aman damai dan makmur. Persoalannya, bilakah negara ini akan menjadi negara Islam dengan erti kata yang sebenarnya. Jawapannya ialah menjadi tugas para da’ie dan umat Islam khususnya untuk memberi dan menjelaskan kefahaman sebenar tentang negara Islam kepada umat Islam dan bukan Islam yang masih kekurangan informasi tentang negara Islam sebenarnya. Wallahu a’lam.